29 November 2009
KAMI MENJUNJUNG KASIH TUAN PRESIDEN.....
Assalamualaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh
7x الله أكبز
الله أكبز ولله الحمد
الحمد لله الذي جعل يىم عيد الأضح أسعد أيام لنا. أشهد أن لا إلو إلا الله و أشهد أن محمدا عبده ورسىلو
Pertama dan selamanya, marilah kita memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah S.W.T kerana telah memberi kesempatan yang sangat berharga dalam hidup ini, masih diizinkan untuk bernafas mengecapi nikmat Eid al-Adha.
Sahabat-sahabiah seaqidahku sekalian,
Matlamat utama kita hidup di dunia ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. meletakkan diri sebagai hamba, yang senantiasa patuh meletakkan wahyu mengatasi segalanya. Tidak kira samada kita sebagai pelajar, sebagai penjawat atau apa sahaja kedudukan yang wujud di dunia ini, patuh kepada Islam itu tidak akan boleh dirubah. Kita menyoroti perjuangan Nabi Allah Ibrahim A.S, yang menyaksikan kesanggupan seorang ayah mengorbankan anak kesayangan setelah mendapat perintah dari Sang Pencipta. Kisah ini kerap diulang dan diolah, setiap kali takbir Eid al-Adha bergema. Namun adakah moral semangat sanggup mengorbankan segala apa yang dimiliki seperti kisah tersebut mampu diteladani oleh kita semua? Atau hanya mampu dijadikan bahan cerita seperti mitos yang tidak punya nilai aplikasi dalam kehidupan seharian? Seharusnya orang-orang yang telah diberikan akal, wajib memikirkan kedudukan diri sendiri apabila diutarakan kisah perjuangan agung Nabi Ibrahim A.S. Nyawa, harta, waktu dan segala kurniaan yang telah Allah berikan hakikatnya adalah modal untuk diberikan kepada perjuangan agama Allah S.W.T.
Sahabat-sahabiah seperjuanganku sekalian,
Hidup kita di dunia ini ibarat seseorang yang memasuki pintu hadapan sesebuah rumah dan akhirnya akan keluar melalui pintu belakang. Ia hanya sebuah laluan yang pasti ada akhirnya. Jangan merasakan hidup ini merdeka dari dosa pahala. Kebelakangan ini, kerosakan akhlak di kalangan siswa siswi kita kian membarah. Kemelaratan yang tidak dibendung dengan sebuah kesedaran bersama, melayakkan kita untuk terkeluar dari senarai umat yang terbaik pilihan Allah SWT. Syarat umat yang terbaik adalah menjalankan tanggungjawab menyeru kepada ma’ruf, mencegah kemungkaran dan beriman sepenuh keyakinan. Sayyidina Umar al-Khattab pernah berwasiat ;
“Aku sangat kecewa dan benci kepada orang yang pintar tetapi tidak bertaqwa. Kerana tanpa taqwa maka kepintaran akan membawa banyak kerosakan kepada umat. Aku juga sangat kecewa kepada orang yang bertaqwa tetapi dungu kerana itu dirinya baik tetapi tidak tahu melaksanakan urusan umat secara teratur dan sempurna”
Begitu juga di dalam perutusan ini, kita sangat kecewa dengan hal keadaan segelintir siswa-siswi yang berpendidikan dan ’alim dalam agama akan tetapi tidak berakhlak, jauh sekali menyimpang dari ilmu yang dimiliki. Harus diingatkan, ilmu sebagai alat untuk merapatkan diri kepada Allah. Yang ingin dipersembahkan kepada Allah di akhirat kelak ialah amal seseorang, bukan semata-mata ilmu. Justeru, usah berasa selamat, tanpa ada rasa hamba di dalam hati. Sungguhpun di sini tiada ibu bapa atau keluarga yang memantau keperibadian kita, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) bertanggungjawab, memastikan masalah moral dan akhlak di kalangan siswa siswi dapat dibendung secara kolektif. Biarlah kita dikenali sebagai masyarakat mahasiswa yang boleh diteladani dari aspek keperibadian. Bukan mereka yang digelar sebagai pelakon apabila tiba ke tanah air kelak.
Sahabat-sahabiah yang dikasihi sekalian,
Cubit peha kanan, terasa peha kiri. Sesiapa yang tidak mengambil peduli masalah ummah, maka dia bukanlah dari umat Islam. Pesanan-pesanan sedemikian merupakan satu peringatan dari Junjungan Besar S.A.W, betapa Islam agama realistik. Dengan jaringan aqidah, kita tidak hidup sendirian. Penderitaan yang sedang dilalui oleh saudara-mara kita di bumi bergolak, sebenarnya mencabar rasa kebersamaan kita dengan mereka. Senaraikanlah, berapa bumi umat Islam yang bergolak. Pasti masih ada berbaki yang di luar pengetahuan kita. Syeikh Ahmad Yasin ketika ditanya oleh seseorang yang bukan Palestin, ”Bagaimana aku ingin menyertai perjuangan kalian di bumi ini?”. beliau menjawab, ”Tidak perlu, berjuanglah dan tentanglah musuh Islam di bumi kalian, pasti kami rasa dibantu”. Di sini sambutan Eid al-Adha ditumpahkan darah binatang korban. Di seberang sana, darah manusia yang tidak berdosa dikorbankan demi memastikan nafsu serakah orde kuffar dilayan semahu-mahunya. Justeru menjadi kewajiban ke atas kita untuk membantu mereka semampu mungkin. Dari sudut doa, moral dan material, warga PMRAM seharusnya tidak ketinggalan bertanggungjawab terhadap isu. Dengan agenda kebajikan dan kemanusiaan PMRAM, usaha ini berterusan dan ia tidak akan bermusim.
Sahabat-sahabiah yang dihormati,
Kini telah tiba tempoh persediaan peperiksaan untuk sesi ini. Kepada yang baru, selamat datang ke alam mahasiswa. Kepada yang lebih dewasa, kalian bertanggungjawab membimbing dan memberi tunjuk ajar. Kepada yang pernah tergelincir, teruskan usaha dan jangan putus asa. Kegagalan dalam peperiksaan bukanlah pengakhiran buat segalanya. Teruskan usaha, langsaikan tanggungjawab sebagai penuntut ilmu agama Allah di bumi bertuah ini.
Buat akhirnya,
Saya mewakili barisan kepimpinan Badan Pengurus dan Hal Ehwal Wanita Islam PMRAM menyusun sepuluh jari memohon kemaafan atas kesilapan dan kekurangan sepanjang kita bersama dalam sesi ini. Kami mendoakan agar hidup kalian sentiasa di bawah lembayung rahmat, moga dengan ukhuwwah ini kita akan bertemu ditempat yang indah di akhirat kelak.
Selamat Hari Raya Eid al-Adha, Maaf Zahir dan Batin.
5x الله أكبز
الله أكبز ولله الحمد
Assalamualaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh
Abdul Mu’izz Bin Muhammad
Presiden,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2009.
P/s : Kami menjunjung kasih tuan presiden......
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment