30 June 2010

Takwilan lafaz 'فوق'.



Assalamualaikum semua.


Allah a'zza wa jalla berfirman dalam surah al an'am ayat ke 18 ;


وَهُوَ ٱلۡقَاهِرُ فَوۡقَ عِبَادِهِۦ‌ۚ وَهُوَ ٱلۡحَكِيمُ ٱلۡخَبِيرُ

Dan Dialah yang berkuasa atas hamba-hambaNya. Dan Dialah maha bijaksana lagi maha mengetahui.


Bermula lafaz
'فوق' di dalam nas di atas mengandungi banyak makna. Yang dikatakan banyak makna itu kerana ia digunakan pada makna tempat, zaman, jisim, bilangan dan pangkat.

Berdasarkan nas di atas maka ia menjadi kesamaran (mutasyabihat) dari sudut maknanya.

Telah berkata Ar Roghib :
فوق itu digunakan pada tempat, zaman, jisim, bilangan dan pangkat.

Telah berkata pula Al Ghazali : Apabila didengar lafaz
'فوق' pada ayat Allah(ayat yang penulis tuliskan di atas tadi), maka diketahui bahawa الفوق itu adalah 1 nama yang berkongsi bagi 2 makna. Salah satu dari keduanya ialah; nisbah jisim kepada jisim. Iaitu kedua-duanya(antara 2 jisim itu) berada di atas antara 1 sama lain atau maksud yang mudah fahamnya ialah seseorang itu berada di atas orang lain.

Contohnya Ahmad berada di atas Abu dalam keadaan kepala Abu berada di bawah kaki Ahmad. Ini
فوق dari nisbah jisim kepada jisim.

Dan yang keduanya pula ialah terkadang di itlaq kan
dan dikehendaki dengannya الفوقية itu dengan makna pangkat atau kedudukan.


Seperti kita mengatakan,

الخليفة فوق السلطان

Seorang khalifah itu kedudukannya atau pangkatnya lebih tinggi daripada seorang sultan.



Dan kita sebagai orang mukmin wajiblah meng i'tiqodkan secara putus bahawasanya makna yang awal, iaitu makna
فوق dari nisbah jisim kepada jisim itu adalah ghoiru murod. Jadi murod yang betul untuk menghindarkan kesamaran dan waham pada manusia berdasarkan nas di atas ialah takwilan kepada pangkat dan kedudukan. Iaitu Allah ialah zat yang melebihi segala-galanya. Hakikat manusia ialah lemah selemah-lemahnya. Manusia tidak mampu lakukan apa-apa melainkan sedikit qudrat yang Allah berikan kepada kita. Kedudukan Allah setinggi-tingginya. Bukan bermaksud Allah berada tinggi dari kita. Jika menyebut Allah itu maha besar bukan bermaksud Allah itu zat nya berbentuk besar. Na'uzubillahi min zalik.

Perlu diketahui bahawa jihah atau berpihak ini mustahil pada Allah taala. Apa itu jihah? Jihah ialah atas, bawah, depan, belakang, kiri dan kanan. Sebab itu salah jika mengatakan Allah taala berada di langit kerana langit itu jihahnya di atas.

Al quran menyebut di dalam surah As sajdah ayat 4,


ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰ عَلَى ٱلۡعَرۡشِ‌ۖ

.... kemudian Dia bersemayam di atas 'arasy...


Jika terjemah kepada bahasa melayu kita memanglah akan menyebut bersemayam dalam erti kata lain duduk di atas 'arasy. Hakikatnya Allah taala suci daripada bertempat atau berjihah.



Apa itu makhluk?


Ulamak kalam menta'rifkan makhluk itu ialah,

' Sesuatu yang selain daripada Allah dan sifat-sifatNya.'

Oleh yang demikian itu, fahamlah oleh kita bahawasanya selain dari Allah dan sifat-sifatNya, semuanya adalah makhluk termasuklah 'arasy dan arah. Semua sudah maklum bahawa Allah taala tidak berhajat kepada makhluk. Ini jelas!

Ulamak balaghah pula menyebut bahawa lafaz
ٱسۡتَوَىٰ itu terbahagi kepada 2 makna. Makna zahir bagi lafaz itu ialah,

الجلوس في المكان و الاءستقرار فيه

'Duduk pada tempat dan tetap padanya(tempat).'


Sedangkan Allah taala itu suci daripada bertempat. Maka murod bagi lafaz tersebut perlu ditakwil kepada,

الاءستيلاء و السيطرة و الملك

'Menakluki(menguasai) dan menguasai dan memiliki(kepunyaan).'


Mengapa ulamak mentakwil ayat yang mutasyabihat? Ini kerana mereka nak menyucikan Allah taala daripada bertempat atau sama dengan makhluk.

Telah berkata Syaikhul Azhar, Syaikh Dr. Ahmad Tayib,

"Adalah sekalian Salafu soleh mengatakan bahawa 'lillahi yadun' akan tetapi makna ini ghoiru murod."


Hakikat maknanya hanya Allah taala saja yang tahu(kerana ia adalah ayat mutasyabihat). Makna zahir bagi 'yadun' ialah sesuatu yang jarihah(sesuatu dari anggota badan samada kaki atau tangan). Namun bukanlah makna zahir itu dikehendakinya. Jika kita inginkan makna zahir itu pada lafaz 'yadun' maka kita telah menyamakan Allah dengan makhluk. Sebab itulah salafu soleh tidak menjawab makna sebenar lafaz 'yadun' itu. Mereka hanya menyerahkan maknanya pada Allah tanpa mengisbatkan apa-apa bentuk jarihah pada Allah. Ini berlaku pada zaman salaf. Mereka tetap mengatakan 'yadun' kerana berdasarkan nas dari al quran. Seperti Allah berfirman dalam al quran surah al fath ayat 10,

يَدُ ٱللَّهِ فَوۡقَ أَيۡدِيہِمۡ‌ۚ

....tangan Allah di atas tangan-tangan mereka..


Tapi bukanlah mereka(salafu soleh) kehendaki 'yadun' itu dengan makna tangan seperti mana sesetengah golongan memahaminya. Sebab dari awal-awal lagi mereka(salafu soleh) sudah menyatakan 'hazal ma'na ghoiru murod'. Mereka(salafu soleh) yang lebih tahu bahasa arab pun tidak berani terjemahkan maknanya. Namun kita hari ini yang baru tahu serba sedikit sudah berani menterjemahkannya pada makna tangan. Na'uzubillahi min zalik!

Perlu diketahui bahawa ada kamus yang terjemah dari bahasa arab ke bahasa melayu. Dan ada juga kamus yang terjemahkan bahasa arab ke bahasa arab sendiri. Jadi bagaimana dengan mudahnya golongan mujassimah menterjemahkan lafaz 'yadun' dengan makna tangan??

Setelah datangnya zaman khalaf, bila ditanya lagi apa maksud 'yadun' itu(jangan terjemah tangan)? Maka khalaf pun mentakwil dengan kata mereka al qudrah. Pentakwilan berlaku kerana terjadinya fitnah dari segi bahasa. Maka untuk menyucikan Allah taala dari segala bentuk yang menyerupai makhluk, takwilan dilakukan. Salah besar jika mengatakan Allah itu ada tangan tapi tak sama dengan makhluk. Kalam-kalam seperti inilah sebenarnya sebesar-besar bid'ah(sesat) kerana salafu soleh pun tidak pernah mengungkapkan sebegitu.

Benarkah mereka mengikut salafu soleh sedangkan salafu soleh pun tidak pernah mengatakan "Allah ada tangan tapi sama dengan makhluk."

Ilmu Allah ini luas. Untuk memahami al quran, bukan saja perlu tahu nahu sorof, balaghah dan lain-lain... Ilmu adab jahili(kesasteraan arab jahiliyah) pun perlu tahu. Adab jahili ini ialah ilmu yang membicarakan tentang asal usul syair di zaman jahiliyah. Orang arab ialah 1 bangsa yang terkenal dengan bersyair. Jadi oleh kerana mereka ini ialah orang arab sejati, maka ketika bersyair, mereka menggunakan pelbagai bahasa yang indah untuk menggambarkan sesuatu. Jika manusia pun boleh menghasilkan bahasa yang indah apatah lagi kalamullah? Sehebat-hebat para syu'ara'(pensyair) di zaman Nabi pun, mereka tidak mampu untuk hasilkan 1 ayat yang menyerupai al quran. Ini menunjukkan bahawa al quran itu penuh balaghah dalamnya.

Kembalilah kepada tafsiran ulamak ahlus sunnah wal jamaah.

Ada golongan kini yang mengakui ikut salafu soleh. Benarkah? Sedangkan salafu soleh tidak seperti mereka. Jika begitu, siapakah yang mereka ikut? Adakah mereka mengikut fahaman mujassimah? Ada aqal yang salim, fikir-fikirkanlah...... Wallahu a'lam.



Rujukan :

تهذيب علم الكلام بشرح الباجورى.
(Kitab madah tauhid, kuliah usuluddin tahun 2 Universiti Al Azhar cawangan Mansurah.)

قطوف من علم البديع (Kitab madah balaghah, kuliah usuluddin tahun 2 Universiti Al Azhar cawangan Mansurah.)


Entri ini telah ditahqiq oleh Tuan Guru Ustaz Al Amin bin Daud Al Azhari.

No comments: