18 July 2010

RINDU YANG TAK TERUCAP...

Pagi itu, aku bangun awal dari kebiasaannya. Ku lihat jam di tangan, sudah menunjukkan pukul 5.30 pagi. Kedengaran sayup-sayup suara ‘tarhim’ dari surau berhampiran, memecah kesunyian fajar yang hening. Ketika umat manusia sedang lena diulit mimpi indah, aku gagahkan diri menolak ‘pelukan’ syaitan yang menyelimuti tubuhku ini. Ku gosok lembut mata yang masih berat untuk dibuka.

“Kuat sungguh pelukan syaitan ni.Patutlah ramai orang yang hanyut.” bisik hati kecilku. Aku bingkas bangun. Tidak mahu dilayan syaitan yang menghasut. Namun aku masih termanggu di birai katil. Mengapa tiba-tiba kali ini perasaan aku berkecamuk? Tidak seperti sebelumnya. Adakalanya sayu, adakalanya sedih. Dan adakalanya terharu… Aaahh!! Mengapa begini?? Seolah-olah ada sesuatu yang bakal terjadi… Aku terus ke bilik air. Menyucikan diri untuk mengadap sang Pencipta. Ku tinggal perasaan tadi sendirian. Biarlah! Usah singgah lagi padaku.



“Adiiik, awal bangun hari ni?” sapa ku lembut pada adikku yang keriangan untuk ke sekolah. Adikku baru berusia 6 tahun. Dia bersekolah di Sekolah Rendah Islam berhampiran rumahku. Dan dia jugalah satu-satunya adik tunggalku. Jarak umur antara kami begitu jurang. Hanya kami 2 beradik sahaja dalam keluarga encik Ahmad, abahku. Ibuku pernah menjalani pembedahan di pangkal rahim. Doktor menasihatinya supaya mengelak dari mengandung lagi. Kerana itu bahaya untuk keselamatan ibuku katanya. Oleh kerana itulah aku dan adikku begitu rapat. Aku terlalu menyayanginya. Setiap kali aku di sekolah, pasti aku rindu dengan karenah dan celotehnya.



“Abaaang, nak pergi sekolah dengan abang boleh..?” soal adikku sambil menarik-narik lengan bajuku. Aku hanya mampu tersenyum. Tanganku perlahan-lahan diletakkan atas kepalanya.



“Mana boleh adik.Adik kan kena pergi dengan abah?” aku cuba memujuknya. Rengekkan manjanya itu membuatkan aku begitu sayu. Serba salah dibuatnya.



“Adik, jangan memandai-mandai. Pergi sekolah dengan abah.” celah ibuku yang dari tadi sentiasa sibuk menyediakan sarapan untuk kami. Adikku cepat-cepat menarik muncung bibirnya. Terzahir perasaan kecewa di hatinya. Dia menunduk tanda sedih kerana kemahuannya tidak ditunaikan.. Aku tidak henti-henti mengusap lembut rambutnya.



“Alaaa, adik abang ni. Petang ni abang bawa keluar jalan-jalan nak tak?” pujukku bersungguh. Ku harapkan dia kembali tersenyum ceria. Cepat-cepat dia mendongak ke arahku sambil tersenyum.



“Saaaayang abang.” satu ciuman singgah tepat di pipiku. Aku tidak henti-henti menguntum senyum.Ibu dan abahku hanya tersenyum melihat gelagat kami berdua. Kadang-kadang terdengar ibu ketawa kecil. Ibu cukup paham dengan kami berdua.

Setiap hari aku akan menaiki bas untuk ke sekolah. Kini aku berada di tingkatan 5. Dan tahun ini juga merupakan tahun penting bagiku. Peperiksaan SPM hampir tiba. Aku tidak boleh leka lagi. Nabi pernah bersabda,”Siapa yang berusaha,dia akan berjaya.”



Hadis ini bukan sekadar hadis semata-mata. Bahkan merupakan kata azimat yang harus dipegang oleh sesiapa pun. Aku leka menunggu bas di luar pagar rumahku. Bunyi hon kereta abahku benar-benar mengejutkan aku. Kelihatan adikku melambai-lambai riang dari tempat duduk hadapan. Gembira aku melihat dia begitu ceria. Wajahnya yang comel itu tidak pernah lekang dari ingatanku. Tidak pernah aku lihat dia seceria ini. Bas sekolah sudah kelihatan.Lamunanku terhenti di situ sahaja…..



*****************



Belum sempat aku membuka kasutku, adik pantas meluru ke arahku. Dia sudah tahu. Pulang sahaja aku ke rumah dari sekolah, pasti aku membeli coklat kegemarannya. Dan aku pun tahu itu adalah kegemarannya. Dia akan merajuk jika aku balik dengan tangan kosong. Ibuku pernah menasihatiku supaya jangan dimanjakn sangat adikku ini. Tapi aku tak merasakan perbuatanku ini satu benda yang menyusahkan. Bahkan inilah salah satu cara menambah keakraban dan kasih sayang antara kami berdua. Aku bahagia begini. Dan dari riak wajah adikku jua, ku tahu bahawa dia juga bahagia. Aku tersenyum puas kerana dapat menunaikan hajatnya.



“Tadi kat sekolah belajar apa dik?” soalku.



“Tadi adik belajar cara-cara nak solat baaang.” jawabnya sambil mulut mengunyah-ngunyah coklat yang ku berikan tadi.



“Adik dah hafal doa iftitah, doa qunut, niat nak solat dan banyak lagi laaa.” balasnya lagi. Dia masih tidak henti-henti mengomol coklat itu.



“Wah,pandainya adik abang ni…” aku pantas merangkul lehernya dan satu ciuman singgah di pipi gebunya itu.



“Apa abang ni. Tak nampak ke adik tengah makan coklat ni..?” adikku kelihatan tidak selesa dengan perbuatanku. Mungkin kerana menganggu tumpuannya yang sedang khusyuk mengomol coklat itu….



Selepas solat zohor aku terus ke bilik untuk ulangkaji pelajaran di sekolah tadi. Hari ini agak banyak juga kerja yang di berikan oleh Ustaz Zulkifli. Ustaz yang mengajarku mata pelajaran Pendidikan Al Quran dan Sunnah.



“Aku kena banyak rujuk kitab-kitab arab ni. Nampaknya aku kena pergi ke rumah abang Rizal lah. Dia kan baru balik dari Mesir..” getus hati kecilku. Abang Rizal merupakan jiranku dan pernah belajar di Universiti Al Azhar, Mesir dalam jurusan Usuluddin. Aku juga ingin jadi sepertinya. Dapat menyambung pelajaran ke sana.Universiti yang tertua di dunia itu. Ia telah melahirkan begitu ramai para alim ulamak untuk seluruh dunia amnya. Aku bertekad, selepas tamat SPM nanti, aku akan sambung ke tingkatan 6 pula untuk mengambil STAM. Kerana dengan sijil STAM sahaja yang boleh melayakkan aku ke sana. Aku tinggalkan buku-buku pelajaran aku di meja belajar, dan terus ke rumah abang Rizal.

“Ibuuuu… Tolong tengok-tengokkan bilik abang ni ya. Jangan bagi adik main-main dalam ni ya ibu.” Aku sempat memberi pesan pada ibuku sebelum ke rumah abang Rizal.



“Wah banyaknya kitab-kitab abang. Ni semuanya beli kat sana ke abang?” soalku inginkan kepastian. Abang Rizal hanya tersenyum mendengar soalanku tadi.



“Ye laa, kat mana lagi abang nak beli. Mestilah kat sana. Lagipun di sana kitab-kitab murah ja. Kalau tak beli masa mengaji di sana, sangat-sangatlah rugi dik. Balik Malaysia nanti baru tahu betapa pentingnya kitab-kitab ni.” Abang Rizal cuba memberi penerangan. Walaupun tidak panjang lebar, namun aku boleh tangkap maksudnya itu.



“Seronoknya bang. Kitab Majmuk Syarah Muhazab pun ada? Muhgnil Muhtaj pun ada? Tafsir Munir? Macam-macam kitab abang ada?” soalku lagi bagaikan tidak percaya.



“Kenapa, tak percaya ke? Kalau nak tengok lagi, dalam bilik abang tu lagi banyak. Fathul Bari dan Musnad Imam Ahmad yang panjang berjela tu pun ada.” pelawanya sungguh-sungguh sambil tersenyum. Aku sudah pening untuk memilih kitab. Mula bermain-main di benak fikiranku. Betapa hebatnya ulamak-ulamak dahulu mengarang kitab. Bukan satu jilid sahaja. Bahkan berpuluh-puluh jilid. Kagum!



*******************



“Abaaang, adiiik.. Datang sini,makanan dah siap.” sahut ibuku dari bawah. Abahku pula kelihatan tergesa-gesa ingin keluar.



“Makan sekali abahnya?” pelawa ibuku.



“Takpa lah. Saya ada mesyuarat dengan AJK surau. Tunggu saya balik nanti ya? Kita makan sekali. Anak-anak dah takdak baru la romantik. Teringat macam mula-mula kahwin dulu.” balas abahku manja. Ibuku tersipu-sipu malu sambil mencubit-cubit abahku. Aku sempat melihat gelagat mereka ketika ingin turun dari tangga. Walaupun ia berlaku dalam masa yang singkat, namun aku dapat rasa betapa romantiknya abah dan ibuku. Aku tersenyum sendirian sambil menuruni anak tangga.



“Apa yang yang kamu senyum-senyum kan tu?” sapa ibuku tiba-tiba.



“Eh, takda apa-apa la ibu. Saja ja nak senyum. Takkan lah tak boleh kot.” aku cuba mencari alasan. Ibu seolah-olah dapat menghidu sesuatu. Mungkin dia malu kalau anak-anak melihat gelagat mereka berdua tadi. Adikku datang sambil menunduk-nundukkan kepalanya. Apa yang tak kena pula pada dia malam ini? Fikiranku tiba-tiba datang seribu persoalan.

“Ni kenapa pula ni? Muncung ja dari tadi?” soalku sambil tanganku mengusap lembut rambutnya.



“Abang mungkir janji dengan adik.” balasnya acuh tak acuh saja.



“Mungkir janji apa pula ni? Abang tak faham lah?” kataku inginkan kepastian.



“Abang kata nak bawa adik keluar berjalan-jalan petang tadi. Tapi abang tak bawa keluar pun.” jelas terpancar rasa kecewa di wajahnya.



“Alamak adik. Abang benar-benar lupalah. Tadi abang ada banyak kerja. Sungguh adik! Abang terlupa.” aku cuba memberi alasan yang benar-benar meyakinkan dia. Aku pun tidak menyangka dia masih ingat lagi janji-janjiku pada dia yang aku ungkapkan pagi tadi. Aku benar-benar terlupa dek kerana banyak kerja yang harus di siapkan. Bahkan sekarang pun kerja sekolah itu masih belum disiapkan. Ku harapkan mudah-mudahan malam ini boleh siapkan semuanya. Aku pun tidak tahu lagi bagaimana nak pujuk adikku ini.



“Adiiiik….Abang tak sengaja tu. Tak tengok tadi abang ada banyak kerja?” mujurlah ibuku bersuara memujuk adikku. Moga-moga adikku faham dengan keadaanku tadi. Dia masih menunduk sayu. Aku sudah mula rasa lain. Perasaan sayu melihatnya mula menyelubungi hatiku.



“Dah,dah… Jom makan. Nanti sejuk pula nasi tu. Alaaaa, esok abang belikan lah adik coklat tu. Adik jangan risau la ya..” ibuku terus memujuknya. Adikku mula mengangkat kepala setelah mendengar perkataan ‘coklat’ tadi. Terkebil-kebil matanya memandangku.



“Betul ke abang nak belikan adik coklat?” soalnya dalam nada yang begitu sayu. Aku pun tidak tahu. Mengapa tiba-tiba kelopak mataku bergenang air mata. Ahh!!! Ini perasaan ketika subuh tadi. Mengapa ia singgah lagi di benakku??



“Yaaaa…. Abang akan belikan adik coklat lagi. Kali ni abang beli banyak-banyak untuk adik abang yang tersayang ni.” aku menarik nafas lega kerana dia mula menguntum senyum. Sayu aku melihat wajahnya begitu… Kasihan adikku… Ibuku hanya menggeleng-geleng kepala melihat kami.



”Macam-macamlah kamu berdua ni.” mungkin itulah yang di ungkapkan oleh ibuku dalam hatinya.



*****************





Aku solat isyak bersama adik dan ibuku. Abahku masih belum pulang dari surau. Gelihati aku bila mendengar adikku iqomat tadi. Suaranya yang sedikit pelat itu membuatkan aku hampir-hampir nak tergelak kecil. Namun aku masih sempat menyorokkannya. Aku terus ke meja belajar. Masih ada sedikit kerja yang perlu aku selesaikan. Walaupun esok cuti hujung minggu, aku tidak mahu melengah-lengahkan kerjaku ini. Biarlah ia selesai dengan segera. Esok aku tak perlu fikirkan lagi kerana aku ada temu janji dengan kawan-kawan yang lain. Sebelum pen aku mula menari mengukirkan kata-kata ilmu, aku terkedu! Teringat peristiwa yang berlaku sebentar tadi. Perasaan ketika subuh tadi mula datang kembali. Sedih! Sayu! Terharu! Aahh! Mengapa ini?? Nyah kau dari aku! Aku pun tidak faham mengapa perasaan ini seringkali hadir dalam benakku sejak akhir-akhir ini. Aku benar-benar sayu melihat wajah comel adikku tadi merajuk kerana kemahuannya tidak ditunaikan. Kasihan…….. Aku terdiam sejenak.. Tarian pena diteruskan …..



Tiba-tiba leherku terasa dirangkul kemas. Aku cepat-cepat kalih ke belakang. Oh, rupa-rupanya adikku. Aku rasa begitu bahagia tatkala dia memeluk erat tubuhku. Tak pernah kurasa bahagia sebegini. Aku mahu saat ini akan berulang lagi.



“Adik, abang nak buat kerja sekolah ni. Pergi kat ibu boleh?” aku menyantuninya dengan penuh kasih sayang dan lemah lembut.



“Tak mau. Adik nak abang tengok adik buat sesuatu untuk abang ni.” rengeknya manja. Pelukannya semakin kuat dari tadi.



“Apa dia? Alaaa.. Bagi la abang wat kerja sekolah ni habis dulu ya?” kataku sambil perlahan-lahan meleraikan pelukannya itu. Bukan aku tidak mahu tunaikan permintaannya. Tapi aku masih ada sedikit kerja lagi yang perlu diselesaikan.



“Tak mau,tak mau!” dia mula mengeras sedikit.



“Adik nak abang tengok sekarang juga!” dia semakin membentak. Suaranya yang seakan-akan hendak menangis pun ada. Kasihan pun ada bila aku melihat tingkah lakunya itu. Aku juga berkeras tak mahu pergi ke biliknya. Namun masih lagi menolaknya dengan lemah lembut.



“Adiiikk…. Abang sibuk ni kan. Lepas siap ni abang pergi lah.” adikku mula meronta-ronta.



“Adiiiikkk.. Janganlah buat macam ni..” aku masih berlembut dengannya. Rontaannya semakin kuat. Tanpa disedari, air kopi yang berada berhampiran buku tulisku tumpah! Hampir semua buku tulisku basah. Adikku pun tergamam dengan apa yang terjadi. Dia terdiam seribu bahasa!



“Apa adik dah buat ni?” aku mula mengeras. Mataku tepat memandang ke arahnya. Dia tertunduk takut.



“Adik tau tak betapa susahnya abang buat kerja ni? Adik senang-senang ja bagi basah!” suara aku semakin meninggi. Aahh, apa yang aku sedang buat ini? Aku tak sepatutnya meninggi suara dengannya. Suara aku yang kuat itu lantas dihidu oleh ibuku di bawah.

“Apa bising-bising kat atas tu abang?” jerit ibuku dari bawah. Dia mula naik ke atas. Ingin melihat apa yang telah terjadi.



“Adik cuma nak ajak……” belum sempat adikku menyambung kata-katanya, aku terus sampuk.



“Ajak,ajak apa! Tak nampak ke abang banyak kerja ni?” aku terus memarahinya. Aku mula tak ketahuan. Seolah-olah telah dirasuk syaitan. Semakin hilang pedoman. Adikku mula terketar-ketar kerana dimarahiku. Ibuku sudah tercegat di depan pintu bilikku.



“Adik min… min.. mintak ma.. maaf.” menangis-nangis adikku meluahkan rasa. Badannya jelas terketar-ketat kerana dimarahiku.



“Sudah!! Pergi dari sini!” sergahku padanya. Tanganku tertolak dirinya sedikit tanpa disedari. Walaupun tolakkan itu tidaklah sekuat mana, tapi telah membuatkan dia terjatuh. Aku terkesima dengan apa yang terjadi. Apa yang telah aku buat ini?



“Abang!!! Apa yang abang dah buat kat adik ni?” ibuku benar-benar terkejut dengan tindakkanku itu. Adikku terus meluru ke arah ibu. Dia memeluk erat ibuku sambil menangis teresak-esak. Aku terdiam lesu. Ibuku tak henti-henti menyuruh aku mengucap panjang.



“Mengucap abang, mengucap…..” wajah ibuku pun mula berubah pucat. Dia tidak menyangka bahawa aku sanggup bertindak seperti orang dirasuk syaitan. Aku benar-benar telah hilang pedoman. Kalau betul pun aku marah kepadanya, aku tak sepatutnya bertindak sedemikian rupa…. Timbul seribu penyesalan dalam lubuk hatiku. Ibu telah membawa adik ke biliknya. Yang tinggal hanyalah aku seorang tanpa pengertian. Aku termenung panjang. Apa yang telah aku buat tadi? Seolah-olah tidak sedarkan diri. Aku merenung tajam pada tangan yang telah menolak adikku sendiri. Mana hilang kasih sayang kau pada dia selama ini? Hatiku mula berbisik sendirian. Malam itu aku ambil keputusan untuk tidur awal. Peristiwa yang baru berlaku sebentar tadi betul-betul buat aku menyesal. Menyesal!! Perasaan ketika subuh kelmaren hadir kembali bertimpa-timpa. Aaahh!! Apa yang akan berlaku ini?? Aku terus bermain-bermain dengan perasaanku sendiri. Inilah kali pertama aku memarahinya dengan sedemikian rupa.. Adik, abang minta maaf…. Akhirnya aku terlelap…….



*****************





Awal-awal pagi lagi aku sudah keluar dari rumah. Sarapan pun tidak. Wajah adik pun aku tak sempat tatap. Ibu tidak bertanya banyak. Aku sengaja keluar awal. Peristiwa malam tadi masih segar di ingatan. Aku keluar hendak membawa hati yang telah berdosa pada adik sendiri. Biar aku hukum diri aku ini. Aku bertekad. Aku nak pujuk sungguh-sungguh adikku hari ini. Aku harapkan bila aku pulang nanti dia sudah sejuk hati. Pasti dia seronok kalau melihat aku balik dengan coklat kegemarannya itu. Tak sabar rasanya nak melihat wajahnya yang comel itu. Hatiku berbisik… Pasti dia seronok.. Yaaaa. Pasti dia seronok.. Yaaa.. Dia seronok.. Hatiku mula tersenyum riang….



Matahari sedang menegak. Aku harus pulang segera ke rumah. Aku sudah tidak sabar-sabar lagi memberikan coklat ini padanya. Sengaja aku beli banyak dari sebelumnya. Aku nak pujuk dan cium dia puas-puasnya. Hatiku semakin gembira. Pasti dia gembira juga. Aku tak akan memarahinya lagi. Anggaplah peristiwa malam tadi sebagai yang pertama dan terakhir dalam hidupku dan dirinya. Percayalah….



Kelihatan begitu ramai kenderaan di hadapan rumahku. Seolah-olah seperti ada kenduri doa selamat. Bila pula abahku ada buat kenduri doa selamat? Tanpa lengah lagi aku terus berlari anak menuju ke rumahku. Bungkusan coklat dipegang rapi. Aku ingin tahu, mengapa begitu ramai manusia yang datang ke rumahku? Aku sudah berada di depan muka pintu. Pandanganku meliar mencari seseorang.Hatiku mula berdebar-debar. Seperti ada sesuatu telah terjadi. Pandanganku terhenti tatkala melihat satu tubuh berselimut putih sedang terbujur kaku. Tubuh kecil itu begitu aku kenali. Adiiiiiikkk!! Bungkusan coklat yang aku pegang erat dari tadi terlepas dari genggaman. Aku melutut di hadapan pintu rumah. Badanku terasa lemah. Bagaikan tidak berpijak pada bumi yang nyata lagi. Aku gagahkan jua mendapatkan tubuh kecil itu. Kini sah lah jenazah yang ada di depanku ini adalah adikku yang disayangi! Aku terus menundukkan muka untuk memberikan ciuman terakhirku. Tapi kali ini aku benar-benar lemah. Dunia sekelilingku seakan berpusing.Aku tak mampu bertahan lagi… Tiba-tiba duniaku GELAP………………



********************



Sudah seminggu peristiwa itu berlalu. Namun segala kenangan indah aku bersama adik takkan hilang sampai bila-bila. Ibu sudah menceritakan segala-galanya padaku. Adik dilanggar kereta ketika ingin mengambil bola yang terkeluar dari pagar rumah. Kecederaan yang teruk di bahagian kepalanya menyebabkan dia meninggal dunia di tempat kejadian. Ibu juga memberitahuku bahawa aku pengsan di sisi jenazah adik. Aku terima takdir dari Allah bahawa Dia lebih sayangkan adik. Tapi aku tetap menyesal sampai bila-bila kerana tidak sempat untuk memberikan dia coklat dan mencium dia sepuas-puasnya. Tambahan pula bila peristiwa aku marah dan menolak dia sehingga jatuh itu bermain-main di fikiranku, bertambah lah rasa sesal dan sedih di hati ini. Aku melihat pada sekeping lukisan yang menggambarkan seorang abang bersama adiknya. Lukisan yang penuh dengan kasih sayang. Inilah benda yang berhajat sangat adik ingin menunjukkan padaku tempoh hari. Sehinggakan aku sanggup menolak adikku sendiri. Aku menyesal sungguh-sungguh. Tapi masa itu takkan dapat diundur…. Tanpaku sedari, manik-manik jernih mula gugur satu persatu dari kelopak mata ini. Kini barulah ku sedar mengapa hatiku sebelum ini di ganggu perasaan sayu, sedih dan terharu. Dan perkara yang aku rasakan bakal terjadi itu sudah pun terjadi dan berlalu. Adik, abang terlalu menyayangi dan merindui adik tatkala ini. Kita takkan dapat bersama lagi seperti dahulu. Maafkan abang dik……….. Adik, kini rindu abang pada adik memang tak terucap lagi...









2 comments:

naimah27 said...

ya Allah..sedihnya kisah ni.. saya juga punya adik. terlalu menyayangi adik2 hingga tak mampu melepaskannya jauh dari pandangan. terlalu menyayangi keluarga, lebih daripada org lain.. terima kasih atas perkongsian ini.. syukur kerana saya masih punya ahli keluarga yg lengkap. alhamdulillah.. insyaAllah akan saya sayangi semua insan disekeliling saya seadanya. tak mahu menyesal kelak.. wslm.

addinbenz said...

ERr...sedih..pepun nice story..len kali wat yg xsedey lak k..