16 July 2010

Istilah TUMPANG BERANI : Sejauh mana kefahaman kita?


Assalamualaikum semua.

Memandangkan penulis ingin pulang ke Malaysia 19 hb 7 ini, maka penulis ingin menulis berkaitan perkara yang akan dilakukan sesetengah orang. Dan istilah ini mungkin kurang didengari oleh kawan-kawan yang lain. Jadi dikesempatan yang ada ini penulis ingin ceritakan serba ringkas.... :-)

Istilah tumpang berani ini akan kedengaran ketika musim pulang ke tanah air. Iaitu dari Mesir ke Malaysia. Suka lah untuk penulis memberikan sedikit pengertian ringkas tentangnya. Istilah ini tak pasti diberikan oleh siapa. Tapi pertama kali penulis mendengarnya dari seorang kawan. Baik, secara ringkasnya istilah tumpang berani ini ialah bila seseorang yang ingin berjalan jauh atau bermusafir jauh secara bersendirian. Oleh kerana bermusafir seorang diri ini bahaya maka dia akan menghubungi orang lain atau kelompok lain yang berada sekali dalam permusafiran tersebut. Tujuan dia menumpang perjalanan orang lain itu kerana kekhuatiran yang berlaku. Dan dia bernasib baik jika ada pula orang lain yang ikut serta dalam permusafirannya itu.

Istilah ini lebih tertumpu kepada perempuan kerana keselamatan mereka lebih utama. Jika ada orang lelaki atau perempuan lain yang ikut serta dalam perjalanan itu namun dari kelompok yang lain maka si dia tadi akan cuba untuk menumpang kelompok tersebut semasa berada dalam permusafiran tersebut.

Penulis cuba berikan contoh sebagai pemahaman mudah. Contohnya bila seorang ustazah ingin pulang ke Malaysia. Namun tiada seorang pun yang bersamanya. Pendek kata dia keseorangan dalam permusafiran. Maka ketika itu jika dia terlihat seorang ustaz yang ikut serta pulang ke Malaysia, dia akan meminta bantuan ustaz tersebut sebagai pemerhati atau mengawasi gerak gerinya. Dan keadaan beginilah dinamakan sebagai TUMPANG BERANI.

Jangan salah faham dengan situasai begini. Ustaz tersebut bukanlah berjalan berdua dengan si ustazah tadi. Kemungkinan kedudukan ustazah tersebut di belakang atau di hadapan ustaz tersebut. Keadaan begini sama saja jika ustazah tadi pulang bersama ustaz tersebut dalam keadaan memang mereka tidak kenal antara satu sama lain. Cumanya beza sedikit ialah tumpang berani ini si ustazah tadi memberitahu ustaz terbabit mudah-mudahan mengawasi keadaannya sepanjang perjalanan. Dikhuatiri akan berlaku perkara yang tidak dingini. Maklumlah jika perempuan keseorangan, macam-macam boleh terjadi.

Sebenarnya penulis sendiri akan alaminya nanti. Baru tadi penulis mendapat panggilan dari seorang ustazah yang belajar di Kaherah. Penulis tak kenal siapakah beliau. Namun dia ingin menumpang sekali bersama kami kelompok dari Mansurah. Penulis mengatakan pada beliau bahawa jangan risau kerana kami dari Mansurah juga ramai yang akan pulang ke Malaysia pada tarikh 19 hb 7 nanti. Dia begitu risau jika tiada orang lain yang pulang juga ke Malaysia.

Pengalaman penulis sendiri bermusafir jauh secara berseorangan ketika penulis pergi ke England. Penulis keseorangan tanpa teman. Walaupun penulis rasa risau kerana ingin ke negara yang asing bagi kita dari segi adat dan bahasanya, namun penulis cuba beranikan diri sebagai seorang lelaki. Akhirnya pengalaman penulis di lapangan terbang Amsterdam dan Manchester secara bersendirian memang menyeronokkan.. :-)

Inilah serba sedikit pengenalan ringkas istilah TUMPANG BERANI. Mungkin ramai di kalangan kita yang baru dengar istilah ini.. :-)

Sebelum itu, jangan samakan istilah ini dengan mereka pasangan kekasih yang pulang bersama. Ini begitu berbeza sama sekali dengan istilah ini. Pasangan kekasih yang pulang bersama ini kemungkinan lebih kepada ingin berseronok dengan pasangan masing-masing sahaja. Maaf cakap. Maka bila jadi begitu(berseronok-seronok dengan pasangan masing-masing) faham-fahamlah sendiri apa natijahnya... Wallahu a'lam.

No comments: