17 May 2010

Tokoh Ulamak : Tuan Guru Ustaz Awang Lanai...

Tuan Guru Ustaz Hj. Abd. Wahab b. Hj. Hasan. Mudir Madrasah Tahzib An Nufus.






Assalamualaikum semua.......

Kali ini penulis ingin membawa kawan2 semua mengenali seorang tokoh agama di negeri Kedah khususnya iaitu Tuan Guru Ustaz Hj. Abd. Wahab b. Hj Hasan atau lebih dikenali sebagai Ustaz Awang Lanai. Beliau merupakan pengasas bagi pondok 'Madrasah Tahzib An Nufus'. Panggilan 'Awang' itu ialah panggilan manja oleh tok guru Omar Zuhdi dahulu...

Sejarah pondok ini penulis mulakan dengan latar belakang pendidikan Tuan Guru Hj. Abd. Wahab dahulu, kerana tidak mungkinlah kita membelakangkan pengasas kepada pondok ini. Dan juga kita semua dapat melihat bagaimana susuk seorang “Tok Guru” yang serba sederhana ini.

Beliau dilahirkan pada bulan 26 Julai 1938 Masihi bersamaan 28 Jamadil Awal 1357 Hijriah, di kampong Tupai, dalam daerah Sik, Kedah. Bapa beliau bernama Haji Hassan Bin Saman, manakala ibunya bernama Hajjah Siti Halimah Binti Mat Thoha, berasal dari selatan Thailand yakni dalam daerah Yala. Selepas tidak berapa lama menetap di kampung Tupai, mereka berpindah ke kampong Bukit Endoi. Anak keenam dari sembilan adik beradik ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Melayu Kampong Tupai ( pada masa itu hanyalah berbumbungkan atap) sehinggalah beliau tamat sekolah rendah.

Kemudian beliau menyambung pengajian beliau di pondok Batu 8 iaitu pondok Tuan Guru Haji Abdul Halim Bin Yaakob, selama 2 Tahun. Selepas itu beliau berkelana ke negeri Cik Siti Wan Kembang untuk menuntut ilmu di sana. Beliau belajar di pondok Bunut Payung yang diasaskan oleh Tuan Guru Haji Abdullah Thohir, selama 1 tahun. Kemudian beliau kembali semula menuntut ilmu di sebelah utara iaitu di pondok Penanti, Tuan Guru yang mengajar beliau pada ketika itu ialah Tuan Guru Haji Mutholib Bin Haji Puteh ( menantu kepada Tuan Guru Haji Syaikh Osman Jalaluddin), selama 2 tahun 8 bulan. Setelah itu beliau kembali ke kampung halaman untuk berguru dengan ayahanda Tuan Guru Haji Omar Zuhdi (pengasas pondok Lanai).

Beliau menuntut ilmu dari “Pakteh Tok Guru” ( panggilan mesra masyarakat kepada Tuan Guru Haji Omar Zuhdi) dari tahun 1959 hinggalah dekat dengan kembalinya Tuan Guru Omar Zuhdi kembali ke Rahmatullah pada tahun 1993 kalau tak silap penulis. Sehinggakan hubungan guru dengan murid itu seperti ayah dan anak, kerana lamanya tempoh yang beliau gunakan dalam menimba ilmu dari Tuan Guru Omar Zuhdi. Diantara sahabat seperguruan beliau dengan “Pakteh Tok Guru” yang terkenal di negeri Kedah adalah Tuan Guru Haji Bakar Bin Ibrahim (Ustaz Bakar Bongor ), Ustaz Taib Azzamuddin ( Bekas Imam Masjid Negara ) dan ramai lagi.

Diceritakan bahawa nama Zuhdi di belakang nama tok guru Omar Zuhdi itu ialah gelaran baginya ketika beliau menuntut ilmu di Makkah dahulu. Digelar sebagai zuhud oleh syaikhnya di sana kerana kezuhudan beliau. Tuan Guru Hj. Omar Zuhdi berasal dari Kelantan merupakan pengasas Pondok Lanai. Ulamak ini memperoleh autoriti keilmuan secara ijazah tadris dari tiga ulama yang mengajar di Masjidil Haram Makkah ketika itu iaitu Sheikh Daud bin Sulaiman al-Kalantani, Sheikh ‘Abdul Qadir bin ‘Abd al-Mutallib al-Mandili dan Sheikh Mukhtar Anfanani. Autoriti ijazah tadris inilah yang dianugerahkan kepada sesiapa yang layak mengajar berdasarkan ilmu-ilmu yang bersepadu meliputi ilmu naqli dan ‘aqli. Ini tradisi pengajian di Makkah sejak zaman berzaman. Intahaa.....

Berbalik kepada kisah tok guru Ustaz Awang Lanai. Beliau bertemu jodoh pada tahun 1959 dengan gadis pilihan hatinya iaitu Hajjah Siti Mariam Binti Mat Daud. Mereka dikurniakan sepuluh orang cahaya mata, yang terdiri dari Siti Fauziah, Siti Sofor, Siti Fadhillah, Mohd Sayuthi, Nasibah, Hamdan Dhiauddin, Fadhuli, Mohd Azra’ie, Mardhiah dan juga terakhir Othman. Pada tahun 1995 beliau bertemu jodoh untuk kali kedua dengan Hajjah Norlia, tetapi tidak dikurniakan anak. Tok guru Ustaz Awang juga merupakan Ahli Majlis Daerah Baling dan YDP PAS kawasan Baling di samping itu juga menganggotai Dewan Ulamak PAS Kedah. Tuan guru juga bertariqat Ahmadiah yang diambil sanadnya dari Tok guru Omar Zuhdi sendiri.

Di samping beliau mengajar di surau pondok, beliau juga banyak mengajar di masjid-masjid yang terdapat di dalam daerah Baling, Sik, daerah-daerah lain yang terdapat di negeri Kedah, Pulau Pinang dan juga Perak . Beliau juga sebagai Pengerusi Qariah bagi Kampung Parit Panjang dan juga imam Masjid Parit Panjang. Sumbangan dan jasa yang beliau curahkan khasnya kepada masyarakat Kampung Parit Panjang dan juga kepada masyarakat Baling umumnya amatlah besar. Beliau juga yang telah menubuhkan Ma'ahad Tahfiz al-Quran ( ABADA ) sebagai nazir Tahfiz bersama mudir Tahfiz itu sendiri yaitu Ustaz Haji Alias Nasri Bin Haji Mahmud beserta ahli jawatankuasa Masjid Qariah Parit Panjang.

Pondok Ustaz Awang Lanai diasaskan pada tahun 17 Ogos 1988 Masihi bersamaan 4 Muharram 1409 hijriah dengan nama Madrasah Tahzib an-Nufus. Moto ataupun prinsip asas pondok ini adalah, “Hidup mestilah berlandaskan Islam”. Sesuai dengan namanya “Madrasah Tahzib an-Nufus” yang bererti “Sekolah yang mendidik jiwa-jiwa”. Pondok ini, pada permulaannya hanyalah sebagai pondok tampungan pelajar dari pondok Lanai ( Madrasah Misbah al-Falah ) yang diasaskan oleh Tuan Guru Haji Omar Zuhdi. Tok guru Omar Zuhdi juga merupakan anak murid kepada ulamak tempatan iaitu Tuan Guru Haji Syaikh Osman Jalaluddin pondok Penanti dan Tuan Guru Haji Yahya Toha ( Pondok Kg. Pisang ) sekarang dinamakan dengan Yayasan al-Khairiah, Kupang.

Atas saranan tok guru Omar Zuhdi yang menyebabkan terbinanya pondok “Ustaz Awang” ini. Dibina di atas tanah persendirian, bersebelahan jalan besar menuju ke pekan Baling (kira-kira 24 KM dari Pekan Baling ), dengan murid seramai 50 orang sahaja ketika permulaannya kerana ruang penempatan pondok tidak cukup pada ketika itu. Pondok ini juga juga menyediakan pondok bagi yang sudah berumah tangga yang berminat menuntut ilmu.

Antara kitab-kitab yang diajarkan sendiri oleh Tuan Guru Haji Abdul Wahab di pondok ini adalah :

1. Usuluddin ( Matan Jauharah Tauhid, Asasul I’tiqad, dan banyak lagi ),

2. Feqah ( Mathlai’l badrain, Iqna, Kanzul Minaan, Fathul Wahhab, ’I’anatut Tholibin, Sulam Mubtadi dan lain2 ),

3. Tasawwuf ( Penawar Bagi Hati, Minhajul A’bidin, Hikam Jawi, Ihya U’lumuddin, al-Wali, Tajul urus),

4. Tafsir ( Tafsir Jalalain, Tafsir Ibnu Abbas, Tafsir Nasafi, Tafsir Baidhowi ),

5. Hadis ( Riyadhus Solihin, Irsyadul ‘Ibad, Dalilul Falihin, Mukhtasar ibnu Abi Jamrah ),

6. Nahwu ( Matan al-Jurmiyyah, Matan al-Fiyah, Kawakib ad-Dhurriyyah,, Qatrunnada, Kitabul Azhari, Yasin al-Fakihi, Muktassar Jiddan),

7. Sorof ( Matan Bina’, Syarah Kailani ), serta banyak lagi kitab-kitab lain yang masih diajarkan sampailah pada hari ini.

Untuk pengetahuan kawan2 semua, pusat pengajian tradisional ini masih berdiri kukuh seiring dengan perubahan zaman. Tuan Guru di bantu dengan anaknya yang keenam yaitu Ustaz Hamdan Dhiauddin, terus mencurahkan ilmu agama untuk pelajar-pelajar pondok dan juga masyarakat sekitar. Juga yang turut membantu beliau mengajar sekarang adalah menantu beliau, Ustaz Husni Bin Saad serta dua orang Ustaz yaitu Ustaz Fadzli( kepala metela'ah) yang berasal dari Grik, Perak dan juga Tuan Guru Ustaz Ismail yang berasal dari Narathiwat. Pihak pentadbiran pondok ini tidak mengambil sebarang bayaran pengajian kecuali bayaran untuk tempat tinggal ( pondok ) sahaja yang perlu di bayar, bayaran tersebut hanyalah RM 200 untuk seumur hidup. Sumber kewangan ( dana utama ) pondok ini hanyalah dari hasil derma ataupun sumbangan dari masyarakat.

Diantara program tambahan selain dari penghayatan dan pembelajaran ilmu agama, masih banyak program lain yang dianjurkan oleh pihak pentadbiran pondok ini seperti; majlis sambutan Maulidur Rasul s.a.w, sambutan Maal Hijrah, majlis sambutan hari Raya Korban, sambutan Hari ‘Asyura, majlis bacaan tahlil dan juga tilawah al-Quran pada bulan Ramadhan dan juga acara ceramah yang bersangkutan dengan hari ataupun peristiwa penting dalam Islam. Untuk majlis bacaan tahlil dan tilawah al-Quran pada bulan Ramadhan pihak pentadbiran pondok ini ada membuat pakej upah membaca tahlil dan tilawah al-Quran untuk disedekahkan kepada ibu dan bapa, saudara mara, ataupun sahabat handai yang telah meninggal dunia. Dengan pakej ini juga sesiapa yang berminat secara tidak langsung telah membantu pihak pentadbiran pondok untuk melengkapkan lagi sumber kewangan pondok dalam menambah baik surau dan juga bagi menganjurkan program-program dengan lebih baik pada masa akan datang.

Itulah serba sedikit biodata ringkas Tuan Guru Ustaz Hj. Abd Wahab b. Hj. Hasan atau lebih dikenali dengan nama Ustaz Awang Lanai. Moga kecintaan kita kepada perwaris para nabi ini semakin membuah. Tanpa ulamak, siapalah kita untuk memahami agama islam itu sendiri. Sesungguhnya daging para ulamak itu beracun, maka celakalah bagi mereka yang menghina para ulamak.. Wassalam...


Perkarangan Madrasah Tahzib An Nufus atau 'Pondok Ustaz Awang Lanai'..

Penulis bersama2 rakan seperguruan di Madrasah Tahzib An Nufus. Kelihatan Ferdaus (ahli bait) berdiri di belakang.

1 comment:

mencari mutiara di pepasir said...

fierdaus tu org ulu tawar ka?