16 May 2009

TUAN GURU HJ. ABD WAHAB B. HASSAN (Ustaz Awang Lanai)


Assalamualaikum semua....

Sempena hari guru ini,ingin aku menceritakan serba sedikit kisah tentang tuan guru aku ini.Tuan Guru Hj. Abdul Wahab Hassan atau lebih dikenali sebagai Ustaz Awang Lanai merupakan seorang ulamak dan tokoh politik di kawasan Baling,Kedah.Di samping tugasnya sebagai seorang pengajar di pondoknya sendiri iaitu Madrasah Tahzib Annufus Parit Panjang,beliau juga seorang pemimpin PAS di kawasannya.Beliau telah menjawat jawatan YDP PAS kawasan Baling setelah sekian lamanya..Beliaulah tempat rujukkan bagi penduduk tempatan.Tugasnya sebagai Pengerusi Qoriah Parit Panjang dan Imam Masjid Parit Panjang menyebabkan beliau seringkali berhadapan dengan masalah orang kampung yang ingin mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar dari beliau.Tidak termasuk lagi bagi mereka yang ingin melangsungkan perkhawinan.Tidak kira orang Umno atau Pas sekitar Parit Panjang,jika ingin berumah tangga pasti perlu berjumpa dengan beliau terlebih dahulu sebagai pemegang borang nikah.YB Kuala Ketil,cikgu Mad Zuki dan YB Kupang cikgu Johari juga sering datang bertandang ke rumahnya untuk berbincang tentang masalah agama dan kepartian.Tuan Guru juga pernah terlibat dalam kes Memali walaupun tidaklah secara langsung.Beliau pernah berbalah bersama polis berkenaan kejadian ini dahulu..

Tuan Guru mendapat didikan terus dari Tuan Guru Umar Zuhdi(pengasas pondok lanai).Dan tuan guru juga merupakan salah seorang anak murid lama yang masih ada hingga di saat ini..Gelaran 'Awang' merupakan gelaran manja dari Tuan Guru Umar Zuhdi kepada beliau ketika menuntut ilmu bersama tok guru Umar Zuhdi.Dan sehingga ke hari ini,gelaran Ustaz Awang itu terus mekar di bibir masyarakat setempat khususnya.Sebelum tuan guru 'bersimpuh' di hadapan Tuan Guru Umar Zuhdi menerima ilmu secara khususnya,beliau sudah merantau jauh ke negeri orang untuk mencari seberapa banyak ilmu di sana.Pulau Pinang dan Kelantan antara negeri yang pernah beliau sampai untuk menuntut ilmu.Dan kemuncak pencarian ilmunya adalah bersama Tuan Guru Umar Zuhdi.Beliau 'bersila' begitu lama bersama tok guru Umar Zuhdi.Segala ilmu yang pernah digali oleh tok guru Umar Zuhdi ketika beliau menuntut di Mekah dahulu diberikan pula pada Ustaz Awang.Sehinggalah Ustaz Awang mampu membuka pondoknya sendiri di Kg. Banggol Berangan,Parit Panjang.

Untuk pengetahuan bagi mereka yang pernah mengaji di Yayasan Khairiah dahulu mesti kenal dengan Ustaz Hamdan Dhiauddin.Ustaz Hamdan Dhiauddin adalah anak lelaki beliau.Ustaz Awang juga AJK Dewan Ulamak Pas Kedah.Aku pernah mengikuti beliau ketika muzakarah Dewan Ulamak.Aku begitu kagum dengan kehebatan ilmu mereka.Kini selepas Pas berjaya mengambil Kedah dari BN,tok guru diberikan kepercayaan lantas dilantik sebagai Ahli Majlis Daerah Baling.

Tok guru seorang yang tegas.Apatah lagi ketika sedang menutut ilmu.Kami anak-anak muridnya tidak pernah berani membuka mulut secara sengaja.Itu pun hanya ketika bertanyakan soalan sahaja.Aku masih ingat lagi kata-kata tok guru pada kami yang dipegangnya hingga hari ini.
"biaq anak murid yang tunggu tok guru,jangan bagi tok guru pulak yang tunggu anak murid."

Cukup mudah untuk difahami.Peringatannya kepada kami supaya jangan datang lewat ke pengajian dan jaga adab antara guru dan murid.

Tuan guru juga tidak suka kepada mereka yang ingin menuntut ilmu,tetapi tidak 'bersimpuh' bersama di dalam majlisnya.Sebagai contoh,pernah tok guru menegur anaknya kerana tidak naik ke madrasah.Anaknya menjawab,dia juga mendengar apa yang di ajarkan oleh ayahandanya itu,tetapi dari rumah mereka.Bukan bersama-sama kami di atas madrasah.Lantas ditegur oleh tok guru...
"kalau nak ngaji,mai naik skali kat sini.Tak memadai kalau dengaq dari rumah ja!" tegas tok guru pada anaknya.
Aku juga bersetuju dengan pandangan dari tok guru itu.Melainkan jika tempat sudah penuh di atas madrasah.

Pengorbanan dan jasa tok guru dalam mencurahkan ilmunya memang tidak boleh disangkalkan lagi.Ditambah pula jasanya kepada gerakkan Islam,Pas untuk Kedah khususnya.Tuan guru juga alim dalam tiga ilmu wajib dipelajari ini,iaitu feqah,tauhid,tasauf.Aku begitu meminati ilmu tasauf walaupun sehingga kini aku tak mampu untuk hidup di dalam dunia sufi lagi.Muksiat hatiku kepada Allah begitu menebal.Namun aku cuba dan terus mencuba mendalami ilmu tasauf.Antara kitab tasauf yang pernah tok guru mengajar aku ialah hikam Ibnu 'Ato illah As sakandari jawi,minhajul 'abidin jawi,tajul 'urus jawi dan hidayatussalikin.Begitu payah untuk mendidik hati(nafsu)ini.Pengalaman menuntut ilmu dengannya begitu indah.Walaupun aku bukanlah dari kalangan mereka yang alim,sekurang-kurangnya tok guru telah mengajar aku menjadi 'manusia'.Aku bersyukur sangat kerana Allah lorongkan aku bertemu dengan tok guru.Terima kasih atas segala-galanya...

Kini tok guru masih lagi meneruskan kerja dakwahnya walaupun usianya semakin meningkat.Usia bukanlah penghalang untuknya terus berbakti kepada Islam.Ketika aku ingin datang ke Mesir ini,tok guru sempat berpesan padaku...
"Amalkan apa yang telah kita ngaji tu" masih terngiang-ngiang di fikiran aku ini.Walaupun aku tak mampu untuk beramal dengan semua ilmu yang ada sekelumit cuma ini,sekurang-kurangnya aku tak tinggal semua untuk beramal dengan apa yang pernah aku pelajari dahulu.Aku harapkan semoga aku balik dari bumi Mesir ini,aku dapat 'bersimpuh' di hadapannya lagi.Moga-moga....

"Ya Allah,sejahterakanlah semua guru-guruku,ampunilah dosa-dosa mereka."

Selamat hari guru.....

No comments: