12 February 2010

UKHUWWAH ISLAMIAH!!!!




Assalamualaikum semua....

Entri kali ini aku paparkan tajuk dan isi 'ukhuwwah islamiah' yang aku ambil dari kertas kerja yang aku buat untuk tema Al Fityan komik. Moga manfaat untuk kawan2 semua.....



UKHUWWAH ISLAMIAH


Ukhuwwah ialah satu perkara yang amat penting di dalam agama islam. Walaupun ia tidak termasuk di dalam rukun islam yang lima namun peranannya di dalam mengatur hala tuju umat islam itu sendiri begitu penting. Tanpa ada ukhuwwah islamiah di dalam jiwa-jiwa umat islam maka agak mustahil agama islam hari ini mampu menjadi agama yang disenangi oleh sebilangan besar masyarakat dunia. Bahkan sekarang ini agama islam sudah menjadi pegangan hidup sebahagian besar umat manusia di dalam dunia ini. Di samping ketaqwaan kita kepada Allah taala, perpaduan dan ukhuwwah ini juga telah memainkan peranan penting dalam menjana keharmonian umat islam sekarang. Allah taala telah berfirman di dalam Al Quran yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.”
surah Al Hujurat : ayat 10.

Ayat ini jelas kepada kita bahawa orang-orang mukmin ini bersaudara dan wajib ke atas kita untuk mendamaikan saudara-saudara kita yang terlibat dengan pertelingkahan ataupun pergaduhan. Ini menunjukkan betapa persaudaraan ataupun ukhuwwah islamiah di antara sesama orang islam itu penting. Allah taala telah menggunakan kalimah ‘2 orang yang bersaudara’ di dalam ayat tadi untuk menunjukkan kepada kita bahawa pertelingkahan tidak akan berlaku jika kita hanya bersendirian. Jika dua orang pun sudah menyebabkan berlakunya pertelingkahan apatah lagi jika kita di dalam kelompok yang ramai? Maka keadaan kita iaitu umat islam yang begitu ramai di dunia ini lebih-lebih lagi perlu faham konsep persaudaraan di dalam islam ini supaya tidak akan timbul pertelingkahan dan pergaduhan.

Pertelingkahan atau ketidaksefahaman ini tidak dapat tidak pasti akan berlaku di dalam kehidupan kita seharian bersama masyarakat dan sahabat baik kita sendiri. Jika perkara yang sedemikian berlaku, maka terjadilah perkara-perkara yang menyalahi ajaran islam itu sendiri sebagai contoh tidak bercakap dan bertegur sapa sesama kita dalam tempoh sehari, dua hari atau mungkin lebih. Ini adalah satu sikap yang perlu dijauhi antara kita, namun dicelah-celah itu islam masih lagi membenarkan kita enggan bertegur sapa sesama kita selama 3 hari. Jika lebih daripada itu, maka kita termasuk di dalam golongan mereka yang berdosa.

Ciri-ciri ukhuwwah yang kami nyatakan di bawah ini adalah setelah mengambil kira keadaan realiti mahasiswa/wi di bumi anbiyak ini. Bilangan pelajar Malaysia di sini ramai dan saban tahun bertambah. Jika perpaduan dan persaudaraan antara kita tidak dijaga, maka kita akan rugi dan menghadapi masalah demi masalah. Antara ciri-ciri tersebut ialah:


1)Ukhuwwah di antara ahlul bait(rakan serumah).

Rakan serumah atau dikenali juga sebagai ahlul bait adalah contoh ukhuwwah yang paling dekat dengan kehidupan kita. Rakan serumah kita juga bukan saja rakan, namun sahabat tempat kita meluahkan rasa dan kawan di kala susah dan senang. Urusan kehidupan kita seharian sentiasa berlegar-legar bersama rakan serumah kita. Bermula dari kita bangun tidur sehinggalah kita ingin memejamkan mata(tidur) semula, semuanya bersangkut paut dengan rakan serumah. Jika ukhuwwah sesama kita ahlul bait tidak diserapkan, maka berlakulah situasi tidak bertegur sapa walaupun sering bertemu di dalam rumah sendiri. Selalulah bertegur sapa dan bertanya khabar. Di samping itu juga perlulah mengambil berat dari pelbagai sudut dan aspek yang dirasakan sesuai. Oleh itu, ada baiknya sebelum kita pergi ke konsep persaudaraan di dalam islam itu pada peringkat yang lebih tinggi atau umum, kita serapkan ukhuwwah sesama ahlul bait dahulu.


2)Ukhuwwah di antara ahli persatuan induk samada di peringkat furuq ataupun pusat.

PMRAM adalah satu-satunya persatuan mahasiwa yang telah melakukan dan sedang berusaha menyatukan pelajar-pelajar Malaysia di bumi mesir ini. Sebagai persatuan induk untuk pelajar- pelajar Malaysia di sini, pelbagai inisiatif dan program telah dilakukan untuk memantapkan thaqafah dan pengetahuan ahli-ahlinya di dalam agama islam secara amnya. Di anggotai lebih 3 ribu ahli adalah merupakan satu jumlah yang begitu besar. Disebalik aturcara persatuan ini memimpin ahli-ahlinya, berlaku juga beberapa masalah. Jika 2 orang yang bersaudara pun boleh bertelingkah, apatah lagi dengan keadaan jemaah yang begitu ramai. Masalah ini(ketidaksefahaman) juga berlaku di dalam persatuan induk(PMRAM) ini. Di sinilah peranan ukhuwwah itu penting. Jika kita melihat ketika zaman awal penyebaran islam, Sayiduna Nabi Muhammad S.A.W. bersama kuantiti sahabat yang sedikit telah membahagikan tugas demi tugas untuk melicinkan dakwah islamiah. Penyebaran atau dakwah islamiah secara rahsia itu telah menyebabkan para sahabat bersatu hati dan mengeratkan tali persaudaraan(ukhuwwah) antara mereka. Ukhuwwah islamiah yang telah di ajarkan oleh Sayiduna Nabi Muhammad S.A.W. menyebabkan mereka mampu berdakwah walaupun berlaku beberapa siri penyeksaan di kalangan para sahabat. Dan kejayaan menyatukan jiwa-jiwa umat islam ketika itu dengan ukhuwwah islamiah yang sejati telah membuahkan hasil apabila dipraktikkan pula oleh generasi umat islam yang seterusnya sehinggalah ke hari ini walaupun ada beberapa masalah yang sering kali berlaku di dalam kehidupan umat islam itu sendiri. Namun(di sebalik masalah yang berlaku) peranan perpaduan dan ukhuwwah itu sendiri antara bukti bahawa pentingnya persaudaraan di dalam islam. Persatuan induk(PMRAM) mahupun cawangan(DPM) masing-masing mempunyai ahli. Bukanlah mudah bagi pemimpin-pemimpin mahasiswa memimpin ahlinya yang pelbagai perangai dan sikap ini. Berlaku juga beberapa masalah. Antaranya ialah ikatan persaudaraan yang menampakkan kerenggangannya. Walaupun dari segi zahir tidaklah menampakkan jurang perbezaan itu, namun hakikatnya masing-masing memendam perasaan dan akhirnya membuahkan rasa buruk sangka dikalangan mahasiswa/wi (ahli) itu sendiri. Pemimpin-pemimpin mahasiswa yang seringkali melakukan aktiviti-aktiviti berfaedah bukanlah semata-mata memenuhi tugas-tugas mereka sebagai pemimpin. Tapi antaranya ialah untuk menyatukan hati-hati ahli dan untuk mengeratkan lagi ikatan silaturrahim bersama ukhuwwah islamiah yang telah lama wujud di dalam jiwa-jiwa ahli.


3)Ukhuwwah sesama ikhwah dan akhawat.

Peranan lelaki dan wanita di dalam melancarkan gerak kerja aktiviti-aktiviti di dalam agama islam tidak boleh dipertikaikan lagi. Bermulanya peranan mereka(wanita) dari zaman awal islam dahulu sehinggalah hari ini, kesannya menampakkan bahawa peranan kaum wanita itu tidak di ketepikan. Walaupun wanita tidak boleh menjadi pemimpin atasan secara khususnya, tapi tugas mereka seperti memberikan bantuan tenaga(sekadar yang termampu), nasihat dan cadangan untuk melicinkan gerakan dakwah adalah bukti bahawa peranan mereka di dalam gerakan perjuangan islam itu diperlukan. Kita melihat pula kepada konteks yang lebih khusus lagi iaitu pergantungan atau saling memerlukan di dalam gerak kerja persatuan itu tetap ada. Walaupun lelaki dan wanita itu ialah ‘mereka yang asing’ di dalam menjaga perhubungan dan ikhtilat sesama mereka, islam masih memberikan keizinan berurusan di dalam beberapa perkara yang tidak menyalahi syariat. Hubungan lelaki dan wanita hakikatnya perlu dijaga. Islam bukan saja mengajar umatnya menjaga pergaulan (iktilat tidak syar’ie)seharian tetapi islam juga memberikan jalan(hukum yang mengharuskan) untuk memudahkan urusan seharian di antara lelaki dan wanita(ajnabi). Kerana tidak dapat tidak, lelaki dan wanita itu saling memerlukan. Oleh itu ukhuwwah di antara kedua-dua kelompok ini juga harus dijaga. Bersatu bukan saja atas dasar suka sama suka atau urusan kerja, tetapi yang paling penting ialah kita bersatu sebagai umat islam yang bersaudara atas dasar kasih dan sayang.


4)Ukhuwwah sesama masyarakat setempat.
Sebagai mahasiswa/wi yang belajar di negara orang perlulah tahu keadaan masyarakat setempat supaya apa yang kita lakukan itu tidak menyinggung perasaan mana-mana penduduk. Walaupun hakikatnya sesuatu perkara yang kita lakukan itu tidaklah salah dari segi syariat, tapi jika berlainan dengan adat masyarakat setempat, maka sebolehnya elakkan daripada kita melakukannya. Seperti mana yang kita ketahui bahawasanya adat setempat ialah sesuatu benda yang begitu penting bagi penduduknya tidak kira di negara mana sekalipun. Semua ini(memahami adat setempat) semata-mata ingin menjaga hubungan persaudaraan dan silaturrahim bersama mereka. Banyak perkara yang boleh dilakukan bagi memupuk semangat persaudaraan sesama islam di antaranya ialah bertegur sapa dengan memberi salam kepada mereka setiap kali bersua muka dan berjumpa(samada di kuliah, jalanan atau di mana-mana tempat yang sesuai). Sedangkan memberi salam itu sendiri hukumnya sunat. Dan kita juga boleh mengeratkan hubungan(ukhuwwah) bersama masyarakat setempat dengan cara kita solat berjemaah di masjid-masjid. Semua kita sudah maklum bahawa pahala orang yang solat berjemaah ini 27 kali ganda kelebihannya berbanding solat bersendirian. Ketahuilah di sebalik kita merebut pahala 27 kali ganda itu, jika kita mengambil muhim, hadirnya kita ke masjid bersama niat I’tikaf, solat tahiyyatul masjid dan bertegur sapa sesama jemaah masjid itu merupakan pahala ‘bonus’ bagi kita. Dan inilah kelebihan bagi mereka yang benar-benar menyedari hakikat apa hikmahnya anjuran kebaikan di dalam agama islam itu.


5)Ukhuwwah secara amnya sesama umat islam di seluruh dunia ini.

Kebanjiran umat islam kini di serata dunia menyebabkan kita susah untuk bersua muka dan bertegur sapa dengan mereka. Walaupun kita menyedari hakikat ukhuwwah yang diajar oleh Allah taala dan rasulnya, tapi untuk melaksanakan suruhan (mengeratkan hubungan silaturrahim dan persaudaraan) itu bukanlah semudah seperti saudara kita yang ada di depan mata. Semua umat islam inginkan kemanisan persaudaraan(ukhuwwah) itu. Kerana setiap perkara yang Allah taala dan rasulnya suruh dan anjurkan di dalam agama islam itu pastilah ada kesedapan dan kemanisannya. Percayalah, bagi umat islam yang benar-benar mengambil berat tentang saudara mereka di seluruh dunia ini, pasti mereka akan merindui mereka dan hati ini sentiasa terpanggil-panggil ingin bertemu dengan mereka sedangkan hakikatnya kita tidak pernah bertemu dan bersua muka dengan mereka. Inilah kelebihan bagi umat islam yang mentauhidkan Allah taala. Namun, berjauhan (kerana bertebaran di seluruh dunia) itu bukanlah alasan bagi kita untuk melupakan mereka dan tidak dapat mengeratkan hubungan persaudaraan kita. Doa adalah senjata umat islam. Dengan kita berdoa untuk kesejahteraan dan keampunan mereka itu juga merupakan cara menunjukkan betapa kita ini kasih sayang, mengambil berat dan merindui sesama umat islam di seluruh dunia ini.




Kesimpulannya

Itulah serba sedikit tentang ciri-ciri ukhuwwah yang kami (krew al fityan komik) ingin sampaikan di dalam bentuk penulisan dan lukisan pada edisi kali ini. Namun di sebalik kita memahami dan menyedari hakikat ukhuwwah islamiah itu, ada beberapa perkara yang boleh menjejaskan ikatan persaudaraan itu. Mengekalkan dan menjaga ikatan persaudaraan ini adalah wajib dan suatu perkara yang begitu penting. Tidak cukup untuk kita hanya memahami makna ukhuwwah itu sahaja. Perkara-perkara yang boleh menjejaskan ikatan persaudaraan islam itu juga perlu dijaga dan dijauhi. Perlulah elak (perkara-perkara yang boleh menggugat ukhuwwah) sedaya mungkin supaya ikatan persaudaraan di antara kita terus mekar di dalam ukhwah islamiah yang begitu indah ini.

Di antara perkara-perkara yang wajib dilakukan oleh umat islam itu ialah:

1) Meneliti dan menyiasat dahulu sesuatu berita atau informasi.
Allah taala berfirman di dalam Al Quran yang bermaksud :
“ Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang-orang fasik membawa satu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatannya itu.” Al Hujurat: 6


2) Tidak memperolok-olokkan orang atau kelompok lain.

Allah taala berfirman di dalam Al Quran yang bermaksud :
“ Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan lain. Boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan yang lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik…..” Al Hujurat: 11


3) Tidak mencela orang lain.

Allah taala berfirman di dalam Al Quran yang bermaksud :
“ …… Dan janganlah suka mencela diri sendiri.” Al Hujurat: 11
Mencela sesama muslim di dalam ayat ini dikira sebagai mencela diri sendiri kerana hakikatnya kaum muslimin itu dianggap satu kesatuan.


4) Meninggalkan atau mengelakkan dari menggunakan panggilan yang tidak baik sesama muslim.

Allah taala berfirman di dalam Al Quran yang bermaksud :
“ Dan janganlah memanggil dengan gelaran yang mengandungi ejekkan. Seburuk-buruk panggilan adalah(panggilan) yang buruk sesudah iman. Dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” Al Hujurat: 11
Panggilan yang buruk itu ialah menggelarkan seseorang dengan panggilan yang tidak diredhoi oleh orang yang digelari itu seperti, hai fasik, hai kafir dan sebagainya.


5) Bebaik sangka.

Allah taala berfirman di dalam Al Quran yang bermaksud :
“ Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakkan prasangka(supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sebahagian dari prasangka itu dosa.”
Al Hujurat: 12


6) Tidak mencari kesalahan dan aurat orang lain.

Allah taala berfirman di dalam Al Quran yang bermaksud :
“ Dan janganlah kamu mengintip dan mencari-cari keburukan dan keaiban orang lain.” Al Hujurat: 12


7) Tidak menceritakan keburukan dan kejelekan orang lain.

Jika yang diceritakan itu benar-benar terjadi maka itu adalah ghibah dan jika yang diceritakan itu tidak terjadi bererti seseorang itu membuat fitnah.
Allah taala berfirman di dalam Al Quran yang bermaksud :
“ Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha penerima taubat lagi maha penyayang.” Al Hujurat: 12


Itulah beberapa perkara yang perlu dilakukan oleh umat islam bagi memastikan ukhuwwah islamiah terus mekar dan semarak di dalam jiwa kita. Musuh islam sentiasa melakukan muslihat dan tipu daya supaya umat islam tidak bersatu hati dan akhirnya bercerai berai. Saiyiduna Nabi Muhammad S.A.W. adalah contoh dan tauladan yang paling terbaik untuk kita ikuti. Teruslah berpegang kepada tali Allah. Jika berlaku kekhilafan kembalilah pada Al Quran dan As Sunnah. Saiyiduna Nabi Muhammad S.A.W. tidak meninggalkan harta benda berjuta ringgit untuk umatnya. Tapi meninggalkan Al Quran dan Sunnah baginda sebagai bekalan umatnya untuk menghadapi hari akhirat. Jika harta berjuta ringgit sekalipun ia akan habis akhirnya, tapi dengan apa yang telah baginda tinggalkan kepada kita ini terus kekal dan kita tidak akan sesat(jika berpegang teguh) hinggalah kita bertemu Allah taala semula. Dan jika kita benar-benar menghayati panggilan terakhir baginda sebelum menghembuskan nafas terakhirnya iaitu, “Ummati, ummati….” pasti kita tidak akan sesekali menciptakan persengketaan atau pertelingkahan.

No comments: