9 July 2010

Inilah akibatnya jika HAKIKAT tak melalui SYARI'AT terlebih dahulu!

Assalamualaikum semua.

Penulis terpanggil untuk menerangkan sedikit tentang beberapa perkara. Penulis ada meninjau ke blog-blog yang lain. Banyak perkara dan perbahasan yang mereka timbulkan. Alhamdulillah, penulis melihat mereka bersungguh dalam perbahasan mereka. Cumanya penulis ada terbaca komen dari seseorang ini. Tak perlulah penulis war-warkan siapakah dia kerana penulis bukan nak buka aibnya. Cukuplah sekadar menjadi pengajaran pada kita semua.

Apa yang telah penulis baca dan hayati maksud komen-komen dari beliau ialah beliau ini seorang yang ingin bersembang dalam kesemua perkara dengan cara hakikat. Namun perlu diketahui bahawa untuk mencapai peringkat hakikat kena lalui peringkat syariat terlebih dahulu. Ini boleh tengok dalam bab tasawuf.

Apa yang beliau katakan tentang ayat-ayat Al Quran dan hadis penulis tak menolaknya. Cumanya penulis pelik kenapa nak menghina ulamak pula? Kalau dia nak bercakap tentang hakikat,cakaplah kalau dah rasa layak. Tapi kenapa sambil-sambil cakap, sambil-sambil itu menghina ulamak mu'tabar? Ulamak 4 mazhab pun dihinanya. Dia mengaku yang dia tak bermazhab. Kerana baginya mazhab ini menyusahkan. Ini antara kata-katanya,

"Saya melihat berlaku perpecahan yang serius apabila muncul 4 Mazhab Ilmu Fiqh. Amat mendukacitakan apabila berlaku pula pengasingan Ilmu Tauhid/Hakikat dari 4 Mazhab Fiqh. Imam-imam 4 Mazhab Fiqh dahulunya tidak nampak bahawa pertambahan pengikut pada generasi sekarang (1.5 bilion umat) boleh menyebabkan pengasingan/perpecahan yg ketara dari segi warisan ILMULLAH dan juga dari segi pengikut."

Bagi penulis, nak bercakap tentang hakikat tak salah,tapi kenapa perlu sampai merendah-rendahkan ulamak? Apa yang penulis nampak, dia ini seorang yang mengamalkan tarikat. Penulis tak anti tarikat bahkan guru penulis sendiri bertarikat Ahmadiah yang diambil sanadnya dari Tuan Guru Umar Zuhdi. Berdasarkan kata-katanya di atas dia ingin menyalahkan imam 4 mazhab kerana mencetuskan perpecahan umat islam sekarang ini. Siapa kata pengikut-pengikut mazhab berpecah? Kalau berpecah kerana bermazhab lain tidak dinamakan berpecah. Bahkan masih lagi dalam jemaah yang Nabi janjikan akan masuk syurga dari 'Al Jamaah' itu sendiri.

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

"Ketahuilah bahawa orang-orang sebelum kamu daripada Ahli Kitab telah berpecah kepada tujuh puluh dua kumpulan, dan sesungguhnya kumpulan ini (umat Islam) akan berpecah kepada tujuh puluh tiga (kumpulan), tujuh puluh dua daripadanya akan masuk neraka dan hanya satu daripadanya akan masuk syurga, iaitu al-Jamaah."

Berjamaah bukanlah bererti tidak boleh wujud beberapa kumpulan atau gerakan tetapi berjamaah adalah bekerjasama sesama kumpulan dan gerakan. Dalam hal ini bersambung kata-kata para ahli hikmah: Bersatu dalam perkara yang kita sepakati, berdiam diri dalam perkara yang kita selisihi.

Apa yang penulis lihat, pengikut 4 mazhab yang masyhur ini iaitu Maliki, Syafie, Hanafi dan Hambali tiada masalah. Masing-masing faham dengan kefahaman masing-masing. Penulis di Mesir ini pun menyedari perkara ini tambahan pula di dalam perkara solat.

Dia menulis lagi,

" Pendapat saya yg dhoif:-
Maha Suci ALLAH! Sesungguhnya DIA tidak layak bergaul dengan makhluk ciptaan-NYA tetapi tiada suatu makhluk pun yang layak menghalang kehendak-NYA (Yang Maha Berkehendak)...jika DIA berkehendak untuk meninggalkan Arasy-NYA (tempat semayam-NYA) lalu turun ke Langit Pertama (tempat). "

Inilah akibatnya kalau terus nak pergi ke hakikat tanpa menyusuri syariat dan aqidah terlebih dahulu. Allah memang tak berhajat kepada makhluk. Benar seperti dia katakan itu. Tapi dengan mengatakan Allah berkehendak kepada semua benda adalah salah! Memang Allah ada sifat pekehendak, tapi dengan mengatakan bahawa Allah berkehendak kepada semua benda adalah salah. Sifat pekehendak Allah taala tidak berkehendak kepada perkara yang mustahil baginya. Mustahil bagi Allah berkehendak kepada anak! Mustahil bagi Allah berkehendak kepada tempat apatah lagi turun dari arasy?? Ini jelas! Macamana orang yang bersembang hakikat boleh tulis begini? Tak belajar aqidah kah?

Dia kata lagi,

"Salam.
Ibn Taimiyyah pening, Ibn Kathir pun pening. Syiah & Wahabi buat semua orang bertambah pening. "

Sedapnya mulut dia hina ulamak begitu.. Walaupun banyak pandangan Imam Ibnu Taimiyah menyalahi ulamak-ulamak mu'tabar yang lain, tapi dengan mengatakan 'pening' adalah perkataan kurang ajar! Kami di Al Azhar menggunakan kalam-kalam Ibnu Taimiyah dalam beberapa perkara. Nak merendah-rendahkan ulamak bukanlah manhaj Al Azhar.

Dia tulis pula,

"ASWJ pun manusia juga, siapa cakap mereka tak boleh kena penyakit pening?"

Dia nak tuduh siapa pula ini? Siapa yang pening sebenarnya??

Katanya lagi,

"Nabi Muhammad (S.A.W.) tiada mazhab.
Kalau baginda tahu dizamannya ada 5 mazhab (termasuk Syiah), habis dicincangnya 5 imam tsbt. Kenali dulu Nur Muhammad sebelum hendak menuduh fitnah.

Abdullah ibn Abi Qahafa (Abu Bakrah As-Siddique) (R.A) pun tiada mazhab. Kalau dia tahu dizamannya ada 5 mazhab, habis dipotong tangan dan kaki 5 imam tsbt bertimbal balik. Kenali dulu Nur Abdullah sebelum hendak menuduh fitnah.

Umar al-Khattab (R.A) pun tiada mazhab. Kalau dia tahu dizamannya ada 5 mazhab, habis diburaikan perut 5 imam tsbt. Kenali dulu Nur Umar sebelum hendak menuduh fitnah.

Uthman ibn Affan (R.A.) pun tiada mazhab. Kalau dia tahu dizamannya ada 5 mazhab, habis dipenjarakan 5 imam tsbt. Kenali dulu Nur Uthman sebelum hendak menuduh fitnah.

Ali ibn Abi Talib (R.A.) juga tiada mazhab. Kalau dia tahu cicitnya Zaid ibn Ali akan memulai Mazhab Syiah Zaidiyyah, sudah tentu cicitnya Zaid ditanamnya hidup-hidup. Kenali dulu Nur Ali sebelum hendak menuduh fitnah."

Lihat saja pada tulisannya. Ini pun dalil macam wahabi guna. Nak kata dia wahabi, dia amalkan sufi. Pelik betul dia ini. Adakah dia tak belajar sejarah tentang kekhilafan yang berlaku di kalangan sahabat? Kawan-kawan pun tahu kan apa yang berlaku selepas Nabi wafat?

Contoh mudah yang kita nampak bila sahabat Nabi iaitu Muaz ibnu Jabal ketika Nabi utuskan ke Yaman. Akhir sekali selepas pertanyaan Nabi tentang dengan apa ingin berhukum selepas Al Quran dan Sunnah? Maka Saiyiduna Muaz jawab dengan ijtihadnya sendiri. Bila sebut ijtihad orang dah faham iaitu dengan kefahaman yang kejap masing-masing oleh para sahabat dalam agama. Tak semua sahabat Nabi mendengar hadis yang sama. Zaman Nabi tak ada lagi susunan ilmu asbabul wurud hadis. Jadi kalau berlaku khilaf di kalangan sahabat pun kita tak pelik. Orang yang paling dekat dengan Nabi pun boleh khilaf, apatah lagi zaman selepasnya dan akhirnya tertubuh mazhab-mazhab.

Lihatlah perpecahan di kalangan sahabat ketika perang siffin, jamal. Bagi penulis, semua sahabat yang terlibat dan terbunuh kerana masalah ijtihad masing-masing. Jadi kita yang orang hina ini, berlepas tanganlah dari semua tuduhan jahat musuh islam. Sesetengah orang islam cuba memburukkan Saiyiduna Mu'awiyah yang telah berperang dengan Saiyiduna Ali sedangkan debu di kaki kuda Saiyiduna Mu'awiyah itu lebih mulia dari kita. Ada hati nak salahkan para sahabat. Ambil jalan mudah iaitu berlepas tangan. Biar Allah saja yang mengadili mereka.

Dia menulis lagi,

"Saya tidak akan pergi lagi menziarah Masjid/Makam Imam Shafie, sebab bau kaki busuk yang amat tidak menyenangkan dalam masjidnya. Saya hanya mampu doakan keampunan ALLAH ke atasnya."

Bau kaki siapakah itu? Masjid Imam Syafie saja kah yang didatangi manusia? Masjid di belakang rumah dia tak ada orang datangkah? Busuk mana sangat? Adakah dia pergi cium seorang demi seorang kaki manusia yang datang ke makam? Penulis pernah ziarah beberapa kali ke makam Imam Syafie. Tapi tak ada lah seperti dakwaan dia itu. Ayat akhir dia tadi seperi ingin katakan Imam Syafie sudah banyak buat dosa. Astaghfirullah...

Dia tulis lagi,

"Pengikut assabiah yg kurang akal inilah yg memandai-mandai menukar ayat contohnya,

"sesungguhnya Al Qur'an ini adalah bacaan yang sangat mulia, pada kitab yang terpelihara, tidak menyentuhnya kecuali hamba-hamba yang disucikan." (QS.56:77-79)

...menjadi bunyinya sebegini:

"sesungguhnya Al Qur'an ini adalah bacaan yang sangat mulia, pada kitab yang terpelihara, tidak menyentuhnya (memegangnya) kecuali hamba-hamba yang bersuci (berwuduk)."

Kalau mengikut ayat asal, "menyentuh" bermaksud: bergaul hati dgn ayat dan memahami penyampaian isi Al Qur'an. "Hamba-hamba yang disucikan" bermaksud: hamba-hamba yang dibersihkan hati oleh-NYA dan diberi petunjuk hidayah dari ALLAH SWT.

Apabila ayat Tauhid sebegini ditukar menjadi ayat Fekah maka semakin parahlah agama Islam. Rasanya semua orang sudah tahu hukum terhadap golongan yang menukar ayat. Tak perlulah saya fatwakan."

Astaghfirullahal 'azim... Yang menafsir Al Quran adalah ulamak mu'tabar. Bukannya manusia biasa. Kenapa gunakan istilah tukar makna ayat quran? Ulamak bukannya suka-suka hati(ikut hawa nafsu) tafsir al quran. Boleh pula dia katakan ulamak memandai-mandai tukar ayat quran. Memang dia tulis 'pengikut-pengikut asobiyah', tapi penulis nak tanya pengikut asobiyyah mana yang mampu tafsir quran melainkan para ulamak saja? Dia kata pula pendek aqal? Memang kurang ajar! Ayat pada surah Al Waqiah ayat 79 telah jadi khilaf ulamak,

لَّا يَمَسُّهُ ۥۤ إِلَّا ٱلۡمُطَهَّرُونَ

Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci;

Ayat al quran ini telah menjadi khilaf ulamak. Fahamlah wahai semua insan bahawa ayat ini KHILAF ulamak! Kenapa dia boleh kata ulamak pandai-pandai tukar makna ayat al quran ni? Memang biadap betul dia tu!

Sebab atau 'illat ulamak yang mengharuskan memegang quran tanpa wuduk kerana mereka menggunakan pendapat Ibn Abbas, pentafsir nombor satu al quran yg mentafsirkan ayat 79 dalam surah al Waqi’ah iaitu al Mutohharun itu secara mutlak merujuk kepada Malaikat.

Ulamak yang melarang pula kerana menafsirkan makna dhomir dalam ayat di atas kembali kepada al quran dan menjadi khilaf pula siapakah al-Mutohharun dalam ayat itu? Ada yang kata: Orang yang suci dari hadas dan najis. Yang lain pula kata: Suci dari syirik dan kekufuran, iaitu orang-orang mukmin. Imam Sayuti menyebut di dalam kitab al-Ahkam: Imam Syafie berdalilkan ayat ini dgn mengatakan orang yang berhadas tidak boleh memegang al-Qur’an. Ini adalah pilihan yang zahir dari ayat ini. Dan ini juga lah pendapat dalam mazhab kita, Syafie.

Jelas berlaku khilaf di kalangan ulamak. Tapi datang pula dia yang terlajak hakikat ini menafikan tafsiran yang lain dan menggelarkan ulamak mufassirin sebagai pandai-pandai tukar makna dan pendek aqal! Cuba tengok tulisannya. Bukankah dia cuba tafsir ayat itu dengan cara hakikat? Sehinggakan menafikan tafsiran ULAMAK sambil menghina. Biadap!

Dia tulis lagi,

"Guru mursyid mengajar "ALLAH tidak berada di mana-mana, bersemayam-NYA di atas langit ke-7 bertempat di Arasy-NYA tetapi kamu semua lihatlah bukti kewujudan-NYA, bukti kebesaran-NYA dan bukti kerahmatan-NYA berada di mana-mana saja di langit dan di bumi. Namun DIA sentiasa memerhatikan hamba-hambaNYA dan sentiasa bersama hamba-hambaNYA yang selalu ingat dengan menyebut Nama-namaNYA". Lalu anak murid yang pendek akal menyimpulkan "ALLAH berada di mana-mana!". Setelah itu anak murid menjadi guru tarekat pula. Kemudian datang pula ustaz fekah yg menggelar dirinya ulamak (ulama': pewaris Nabi yang takutkan ALLAH) lalu berkata, "ALLAH tidak bertempat. Sesiapa yang iktikad ALLAH bertempat...KAFIR!"

Siapa kata Allah ada di mana-mana? 'di mana-mana' itu sendiri menujukkan tempat sedangkan Allah tak perlukan tempat. Yang cakap Allah tidak bertempat itu bukannya ustaz fekah! Tapi ulamak ilmul kalam! Ilmul kalam ini dalam bab aqidah ataupun tauhid, bukannya dalam bab fekah. Ini pun tak boleh bezakan lagi. Inilah akibatnya kalau nak hakikat tanpa lalui syariat dulu.

Dia tulis pula,

"Mereka bersangka 72 golongan sesat, 1 golongan yang selamat hanyalah Ahli Sunnah wal Jamaah yang paling besar padahal 1 golongan yang selamat cuma 1/73 ~ 1% dari umat Islam bertaraf para Auliya yang tidak pernah belajar di Al-XXXXX kerana disitulah yahudi berselindung disebalik jubah guru."

Tengok pada tulisannya memang dia ini nak sembang hakikat saja. Kononnya dia ini ahli sufi. Orang jenis inilah yang rosakan nama sufi. Ulamak tasawuf bukan saja alim tasawuf, bahkan alim syariat juga. Bukannya macam kita ni. Apa pun tak tahu. Tapi berlagak macam dah alim. Penulis pelik pada ayat dia, ' para Auliya yang tidak pernah belajar di Al-XXXXX kerana disitulah yahudi berselindung disebalik jubah guru.' Setahu penulis pusat pengajian yang selalu orang sebut bermula lafaz 'Al' ni ialah Al Azhar. Universiti islam lain tiada sebut begitu. Dan melihat kepada susunan perkatan x itu ada 5. Maka boleh disebut AZHAR yang tersusun dari 5 huruf juga. Adakah dia nak kata pada Al Azhar? Dan ulamak Al Azhar itu terpedaya dengan yahudi? Ini betul-betul tuduhan dan fitnah!

Penulis dapat simpulkan bahawa dia ini kononnya berada dalam hakikat. Tapi sebenar ditipu dengan ilmunya sendiri. Golongan inilah yang merosakan nama sufi di dalam masyarakat. Sebab itu sekarang ini orang nampak sufi ini sesat. Tak dinafikan memang ada ulamak yang menafsirkan cara hakikat. Tapi kalau sampai menafikan peranan hadis dan ikut kepala otak sendiri dalam menafsir al quran memang salah lah. Tambahan pula dengan menafikan ulamak fekah! Penulis masih ingat lagi kata-kata tok guru penulis,

"Nak amek tarikat ni bagi alim syariat dulu. Takut-takut nanti kalau pi bertapa dalam gua, mai jin atau syetan yang mengaku malaikat ka apa ka, dah kena tipu camtu jaa..."

Sekarang ini tasawuf tak belajar, fekah pun sama. Tiba-tiba ambil tarikat. Maka memang masalah besar. Nanti mulalah tafsir al quran ikut sedap hati ja. Sehinggakan mengatakan solat dah tak wajib, pakai niat saja dan banyak lagi. Ada pula yang kata arak tak haram sebab anggap saja zat air arak tu macam air biasa.. Na'uzubillahi min zalik.. Kerana golongan beginilah yang merosakkan nama sufi itu sendiri.. Terlajak hakikat sampai semuanya serahkan pada Allah tanpa ada usaha. Akhirnya jadilah puak jabariah dan qodariah.. Minta jauh lah semua ini...

Ilmul kalam nak kenal Allah melalui sifat-sifatnya. Ilmul fekah untuk sah kan ibadat kita seperti solat dan lain-lain. Dan tasawuf itu untuk menyucikan hati kita dari sifat-sifat mazmumah. Dan dengan tasawuf juga kita memandang Allah dengan pandangan mata hati. Tasawuf juga mengajar kita untuk ikhlaskan segala amal baik kita.

Ada juga kalam-kalam ulamak sufi yang tak sesuai diucapkan pada orang awam. Dikhuatiri akan timbul fitnah.

Pesanan penulis, belajar syariat kemudian bertemu tarikat dan akhirnya berjumpa hakikat. Kalau pergi hakikat terus, memang timbul masalah besar! Wassalam......

No comments: