1 April 2011

CINTA 50 TAHUN.... episod akhir.

Boleh baca episod 1 pada link ini.


Sambungan dari episod lepas....


Nur Mutmainnah jadi serba salah. Perlukah dia hubungi Sufian untuk minta maaf atau sebaliknya. Dia mundar-mandir sendirian di dalam biliknya. Akhirnya dia mencapai telefon bimbitnya..

"Assalamualaikum..." Nur Mutmainnah mulakan bicaranya.

"Waalaikumussalam, cik Nur..." lemah bicara Sufian.

"Saya nak minta maaf tentang hal kelmarin. Saya memang tak tahu yang ayah saya dah carikan calon untuk saya. Saya minta maaf sangat-sangat." Nur Mutmainnah cuba cerahkan keadaan.

"Tak apa. Saya faham. Kalau itu dah pilihan ayah Nur, apa lagi yang mampu saya buat? Nur ikutlah pilihan keluarga Nur itu. Itu lebih baik.." ujar Sufian.

"Izinkan saya bertanya pada awak... Kenapa awak pilih saya sedangkan awak baru mengenali saya dan baru juga awak nyatakan keinginan awak pada saya.." tanya Nur Mutmainnah.

"Awak silap Nur....Saya bukan baru kenal awak. Tapi dah setahun saya mengenali awak. Mula-mula saya kenal awak masa awak jadi pelajar baru di U kita. Saya dah lama perhatikan awak dan bertanya-tanya tentang awak pada kawan-kawan awak yang lain. Saya jatuh hati pada awak kerana perwatakan dan perangai awak yang cukup baik. Bukan baru 2,3 hari saya kenal awak. Dah setahun lamanya. Setahun saya simpan perasaan ini. Baru kini saya luahkan pada awak. Saya cintakan awak, Nur......" luah Sufian. Dia beranikan diri.

Nur Mutmainnah terkesima sebentar dengan luahan Sufian itu. Timbul rasa terharu dalam dirinya. Matanya mula bergenang air mata. Setahun bukanlah jangka masa yang singkat. Dia tak sangka Sufian sudah lama menaruh perasaan terhadapnya. Apa yang perlu dia buat?

"Tak mengapa lah Nur. Ini hanya perasaan saya saja. Bukan apa-apa pun. Saya doakan moga Nur bahagia hendaknya... Assalamualaikum.." Sufian matikan panggilan. Hampa perasaannya. Hajat hati untuk dapatkan Nur Mutmainnah tidak tercapai. Dia rebahkan badannya ke katil. Akhirnya dia terlelap.....

Nur Mutmainnah pula sudah gugur manik-manik jernihnya itu kerana terharu.


************************

2 tahun sudah berlalu...... Nur Mutmainnah akan menghadiri majlis konvokesyennya di universiti tak lama lagi. Dan dia juga akan melangsungkan perkahwinan dengan lelaki pilihan ayahnya seorang anak tok imam lulusan jurusan agama dari universiti tempatan juga. Nur Mutmainnah sudah bersedia untuk menjadi yang sah di sisi Ahmad, tunangnya. Ahmad kini bekerja sebagai seorang tenaga pengajar di sebuah sekolah kerajaan di ibu kota. Ahmad seorang yang baik. Pandai mengambil hati. Nur Mutmainnah juga turut terpikat dengan keelokkan perangai Ahmad. Nur Mutmainnah sudah lama melupakan peristiwa 2 tahun lalu. Namun nama Sufian dia tetap ingati..

Sufian kini sudah bekerja sebagai pegawai di jabatan kerajaan di ibu kota juga. Dia sehingga kini masih membujang. Hati dan perasaanya tetap dambakan Nur Mutmainnah. Namun dia cuba terima kenyataan bahawa Nur Mutmainnah akan berkahwin dengan orang lain. 3 tahun dia dambakan cinta pada Nur Mutmainnah dan sehingga kini jua cintanya tetap pada Nur Mutmainnah. Sufian juga dijemput menghadiri majlis walimatul'urus Nur Mutmainnah dan Ahmad. Dia nak pergi, namun kadang-kadang perasaannya rasa sayu. Sayu kerana seorang wanita yang selama ini dia dambakan akan menjadi milik orang lain. Usman banyak memberikan nasihat pada Sufian. Mereka sewa rumah bersama walaupun Usman bekerja di tempat lain. Usman pernah bertanya pada Sufian agar berkahwin saja dengan orang lain. Tapi Sufian tak mahu. Hatinya tetap teringatkan Nur Mutmainnah.

"Sufi... kau tak boleh macam ni saja. Sampai bila kau harus begini? Nur akan berkahwin tak lama lagi. Terimalah kenyataan ini. Aku tak boleh tengok kau kadang-kadang muram." Usman cuba menasihati kawan baiknya itu. Sufian bukan tak sedar semua ini. Dan dia pun dah sedaya untuk lupakan. Tapi 3 tahun berlalu ini masih tak nampak hasilnya.

"Tak apa lah Sufi. Fikirlah yang terbaik untuk diri kau.." Usman tinggalkan Sufian sendirian di ruang tamu.

Tiba masanya majlis walimah Nur Mutmainnah dan Ahmad. Sufian tak datang. Hanya Usman saja yang hadir. Kelihatan berseri-seri wajah dua mempelai. Usman turut tumpang gembira.

"Assalamualaikum Nur. Saya nak sampaikan salam Sufi pada awak. Dia ucapkan moga bahagia hendaknya..." ujar Usman pada Nur Mutmainnah. Nur Mutmainnah senyum mendengar pesanan itu. Namun jauh di lubuk hatinya masih terasa dengan peristiwa lepas. Rasa itu perlu dibuang jauh-jauh agar tak mengganggu keharmonian rumah tangganya bersama suami tercinta.


*********************


"Man, aku nak kahwin lah.." kata Sufian lembut. Usman terkejut dengan kata-kata kawannya itu.

"Betul ni Sufi? Alhamdulillah.. Dengan siapa?" tanya Usman bersungguh.

"Dengan kawan sepejabat aku..." balas Sufian

"Kau bersungguh ni?" tanya Usman inginkan kepastian.

"Takkan aku nak main-main pulak..." tegas Sufian.. Lantas Usman memeluk erat kawannya itu.

Akhirnya Sufian selamat diijab kabulkan dengan seorang gadis yang sama tempat kerja dengannya. Sufian mahu melupakan segala episod dukanya dulu. Semoga perkahwinannya dengan Asmah menjadi permulaan hidup barunya walaupun cintanya pada Nur Mutmainnah masih berbuku..

"Abang redho Asmah jadi isteri abang..." kata Sufian pada Asmah sambil mencium ubun-ubun isterinya itu.. Asmah turut terharu....

Nur Mutmainnah turut hadir tika hari perkahwinan Sufian. Sufian menyambut dengan senyuman walaupun masih ada sekelumit rasa sayu itu. Dia cuba sedaya sembunyikannya agar siapa pun tak sedarinya.


***********************

"Abah, petang ni kita jalan-jalan kat taman nak?" rengek Amin anak Sufian sambil menarik lembut baju Sufian. Amin sudah berumur 5 tahun. Kini Sufian bahagia bersama isteri dan anak-anaknya. Anaknya yang nombor dua berusia 1 tahun 8 bulan dan masih menyusu dengan ibunya..

"Iyaaa.. Untuk anak abah, petang ni kita pergi yaa.." pujuk Sufian lembut pada anaknya. Didakap kemas tubuh kecil itu..Berkali-kali dia gomol pipi lembut anaknya itu. Asmah hanya tersenyum dari jauh melihat gelagat dua beranak itu. Terserlah benar kebahagiaan yang Sufian kecapi bersama keluarganya..


***********************


"Nenek..... Jom lah kita pergi sekali... Abah suruh ajak nenek sekali.." tiba-tiba lamunan Nur Mutmainnah dikejutkan panggilan oleh cucunya itu. Dia cepat-cepat mengesat air matanya.

"Eh, nenek menangis ke? Kenapa ni nenek?" cucunya yang sudah berada di alam universiti itu menghidu sesuatu dari Nur Mutmainnah.

"Tak ada apa lah.. Nenek teringatkan arwah tok wan kamu saja... Insyaallah nenek pergi bersiap-siap dulu yaa.." kata Nur Mutmainnah. Kini Nur Mutmainnah punyai 20 orang cucu dari 6 orang anak-anaknya. Yang tegurnya tadi adalah cucu keduanya. Suaminya Ahmad pula sudah lama meninggal dunia akibat sakit serangan jantung pada usia 65 tahun. Kini usia Nur Mutmainnah sudah menjangkau 70 tahun. 1 usia yang cukup tua bagi seorang insan. Kulit badan pun sudah berkedut. Dia pun sudah kurang sihat. Kadang-kadang perlu ke hospital untuk dapatkan rawatan lanjut. Kini banyak dihabiskan masa bersama cucu-cucunya sahaja. Tiba-tiba datang anak lelakinya..

"Mak, esok kita ada tetamu nak datang.." ujar anaknya itu.

"Siapa pulak yang nak datang ni?" balas Nur Mutmainnah kehairanan.

"Entah laah. Tadi kakak bagitau kat saya. Katanya tetamu istimewa..."

Nur Mutmainnah bertambah lagi kehairanannya. Namun dia tak banyak bertanya.

"Yaa, kita tunggu esok saja yaa.Mak nak bersiap-siap dulu ni. Abang kamu nak bawa mak jalan-jalan katanya." kata Nur Mutmainnah. Anak lelakinya itu mengangguk faham.


Esoknya mereka sekeluarga sudah awal menanti di rumah. Menanti tetamu seperti anaknya khabarkan. Nur Mutmainnah ingin tahu juga siapa tetamu istimewa itu.

"Mak, mereka dah sampai.." kata anak perempuan Nur Mutmainnah.

"Yaaa... Ajaklah mereka masuk.." Nur Mutmainnah mempelawa mereka.

Maka masuklah para tetamu itu. Kelihatan seorang lelaki tua bersama anak-anaknya. Tak kurang 5 orang mereka datang bersama 2 buah kereta. Tuan rumah sambut dengan gembira kedatangan mereka. Nur Mutmainnah mula kaget bila melihat kelibat lelaki tua itu. Umurnya juga lebih kurang Nur Mutmainnah dan mungkin tua sedikit darinya. Tidak sempat untuk mereka semua ambil tempat, tiba-tiba Nur Mutmainnah bersuara....

"Abang Sufian?" tegur Nur Mutmainnah.

"Yaaa Nur.. Ni abang Sufian. Tak sangka Nur masih kenal dengan abang.. Dah berpuluh tahun kita tak ketemu. Tapi Nur masih kenal dengan abang.." Sufian memulakan bicara. Anak-anak Nur Mutmainnah dan Sufian sengaja biarkan mak dan abah mereka berbicara.

"Ya Allaah.... Macamana abang tahu rumah saya?" tanya Nur Mutmainnah.

"Ni semua jasa baik anak-anak kita yang nak sangat abang berjumpa dengan Nur.." balas Sufian lembut.

"Allahu akbar... Nur tak sangka akan bertemu dengan abang lagi. Anak-anak saya pun tak pernah bagitau apa-apa pada saya tentang hal ni. Mana kak Asmah?" soal Nur Mutmainnah lagi.

"Kak Asmah dah lama tak da. Dia meninggal dunia 5 tahun lepas kerana sakit." ujar Sufian.

"Maaf, saya tak tahu...Bagaimana keadaan abang sekarang? Sihat kah?"

"Abang sihat. Tapi sihat cara orang tua lah. Dah 73 tahun dah umur abang sekarang. Dah tua kita Nur... Tapi muka Nur tetap macam 50 tahun yang lepas..."

"Mana ada abang Sufian. Saya dah kedut sana sini...." kata Nur Mutmainnah.

"Sebenarnya kami ada hajat besar datang ke mari.." sampuk anak lelaki Sufian yang sulong, Amin.

"Kami datang sini nak meminang seseorang..." ringkas kata-kata Amin.

"Nak minang siapa pulak?" Nur Mutmainnah cepat-cepat jawab.

"Abang nak pinang Nur untuk jadi isteri abang....." tiba-tiba saja Sufian meluahkan rasa. Nur Mutmainnah terkejut. Anak-anaknya yang lain turut terkejut. Tapi mereka tetap buat seperti tiada apa-apa.

"Abang biar betul? Nur bukan Nur yang dulu. Nur dah tua sekarang ni bang. Anak-anak ramai. Cucu pun ramai. Adakah abang masih nak berseloroh dengan Nur?" Nur Mutmainnah bagaikan tak percaya apa yang diluahkan Sufian itu.

"Abang benar-benar ni Nur. Abang juga dah tua. Abang juga punyai anak-anak yang ramai. Cucu-cucu abang pun ramai. Adakah Nur nak hampakan rasa cinta abang selama 50 tahun ini? Selama 50 tahun ini rasa cinta abang pada Nur tak pernah padam walaupun abang juga mencintai isteri abang, kak Asmah. Inilah kehebatan Allah bila Dia boleh berikan perasaan ini pada orang lelaki.." Sufian tertunduk segan kerana meluahkan rasa itu di depan anak-anaknya dan anak-anak Nur Mutmainnah. Anak-anak mereka semua sudah terdiam. Kaku tak terkata apa-apa...

"Nur, dulu abang boleh terima kenyataan yang Nur dah jadi milik orang lain. Bahkan abang bersyukur kerana lihat Nur bahagia... Tapi adakah sekarang Nur masih nak menolak lamaran abang ini?" Sufian bersungguh-sungguh dalam kata-katanya..

"Abang Sufian.. Jangan begini. Kita ada di depan anak-anak sekarang ni. Malu pada mereka nanti.."

"Biarkan.. Biarkan mereka tahu bahawa 50 tahun yang lepas, Nur adalah wanita pertama yang abang cintai...."

Akhirnya Nur Mutmainnah tak boleh berikan apa-apa alasan lagi. Tiba-tiba Nur Mutmainnah menitiskan air mata kerana begitu terharu pada Sufian yang masih lagi mengingati dirinya....


**********************

Sufian dan Nur Mutmainnah sudah selamat diijab kabulkan.. Anak-anak mereka semuanya tumpang gembira dan ada juga rasa terharu dengan kisah mereka berdua..

"Nur... Walaupun kita berdua sudah tua, tapi abang tetap cintakan Nur. Abang tetap cintakan diri Nur. Walaupun kita sudah tak lama di dunia ini, sekurang-kurangnya cinta 50 tahun abang ini tak sia-sia..." kata Sufian lembut sambil mencium ubun-ubun Nur Mutmainnah..... Nur Mutmainnah memejamkan mata sambil menitiskan air matanya. Akhirnya cinta mereka bersatu jua.............. Tamat kisah Cinta 50 Tahun... :)



Cinta Dalam Hati - UNGU.

mungkin ini memang jalan takdirku
mengagumi tanpa di cintai
tak mengapa bagiku asal kau pun bahagia
dalam hidupmu, dalam hidupmu

telah lama kupendam perasaan itu
menunggu hatimu menyambut diriku
tak mengapa bagiku cintaimu pun adalah
bahagia untukku, bahagia untukku

ku ingin kau tahu diriku di sini menanti dirimu
meski ku tunggu hingga ujung waktuku
dan berharap rasa ini kan abadi untuk selamanya
dan ijinkan aku memeluk dirimu kali ini saja
tuk ucapkan selamat tinggal untuk selamanya
dan biarkan rasa ini bahagia untuk sekejab saja

31 March 2011

CINTA 50 TAHUN...



"Eh, Man! Tu budak mana tu?" tegur Sufian ingin tahu.

"Mana? Oh, yang tu ke? Aku tak kenal. Nanti dulu aku nak tanya 'kabel' aku." balas Usman sambil tersengih. Sufian kepelikan dengan jawapan Usman itu lantas bertanyakan semula.

"'Kabel' mana pulak ni Man?" soal Sufian.

"Alah kau ni. Intan budak sekuliah kita tu la. Dia mesti kenal siapa budak yang kau ushar tadi tu." Usman teruskan langkah ke kafeteria.

"Oh, Hee..." Sufian tersengih dan sudah tahu dengan jawapan kawan baiknya itu. Mereka berdua meneruskan langkah ke kafeteria. Sufian seorang pelajar universiti tempatan. Menuntut dalam bidang sains politik. Kini sudah berada di tahun 3.

3 hari selepas kejadian pada tengahari itu, Usman datang mendapatkan Sufian yang ketika itu berada dalam perpustakaan. Usman meluru laju ke arah Sufian.

"Sufi!" Usman jerit kecil.

"Man, kau tak nampak ke kita dalam perpustakaan ni. Suara kau tu perlahan lah sikit.." Sufian mula menegur tindakan Usman yang boleh mengganggu tumpuan orang lain.

"Ops, maaf Sufi. Aku ada benda nak bagitau ni." bersungguh-sungguh Usman.

"Apa dia Man?" soal Sufian inginkan kepastian.

"Aku dah tau siapa budak perempuan yang kau tengok hari tu." ujar Usman penuh perasaan.

"Yaka? Bagitaulah aku cepat." Sufian menarik Usman supaya duduk di sampingnya. Tangannya memeluk erat bahu Usman.

"Nama budak ni Nur Mutmainnah. Budak ni baru masuk universiti kita ni. Tapi aku rasa lebih baik kau tak payah kacau laa." Usman memaku tepat matanya ke arah Sufian.

"Kenapa pulak?" soal Sufian kehairanan.

"Dia ni budak bagus. Kawan aku bagitau memang bagus sangat. Sesuai ke dengan kau?"

"Kenapa? Kau ingat aku ni jahat sangat ke?" balas Sufian.

"Kau tak jahat. Tapi cuma baik tak sepenuhnya laa." ujar Usman pula menyindir. Sufian memeluk lembut tubuh kawan baiknya itu sambil tersenyum lebar.



********************


1 tahun berlalu..... Sufian masih lagi menyimpan perasaannya terhadap Nur Mutmainnah. Sehingga kini Nur Mutmainnah masih tidak menyedarinya. Dan sepanjang tempoh itu juga Sufian tak pernah menghubungi Nur Mutmainnah. Nur Mutmainnah seorang yang baik. Tak pernah bergaul sesuka hati dengan mana-mana lelaki. Sufian pun tak pernah melihat Nur Mutmainnah berbual-bual dengan lelaki lain di mana-mana tempat sekitar universiti. Tingkah laku Nur Mutmainnah juga penuh kelembutan sebagai wanita melayu. Keayuan wajahnya usah dipersoalkan lagi. Nur Mutmainnah juga sentiasa berbaju kurung dan bertudung labuh menampakkan perwatakannya seperti seorang ustazah walaupun Nur Mutmainnah bukanlah berjurusan agama. Walaupun Nur Mutmainnah berada di tahun 2 dan Sufian pula di tahun akhir, ini tak menyukarkan Sufian untuk selidiki sifat-sifat yang ada pada Nur Mutmainnah. Bagi Sufian, memang tepat pilihannya jika ingin dijadikan isteri. Tapi adakah Nur Mutmainnah sudi jika Sufian melamarnya? Perasaan itu masih bermain-main dalam mindanya. Ah, kalau aku tak cuba, bagaimana aku nak dapatkan hasilnya? Getus hati kecil Sufian. Bagi Sufian sudah tiba masanya untuk Sufian meluahkan rasanya selama setahun ini. Jika masih bertangguh, pasti dia juga yang akan menyesal. Akhirnya Sufian mengambil tindakan berani iaitu dengan merancang untuk melamar Nur Mutmainnah.

Petang itu Sufian menghubungi Usman untuk mendapatkan pertolongannya. Sufian ingin dapatkan nombor telefon Nur Mutmainnah. Dia nak telefon sendiri Nur Mutmainnah untuk dapatkan kepastian.

"Kau biar betul ni Sufi?" soal Usman yang tiba-tiba pelik dengan sikap Sufian. Sufian terus menganggukkan kepala. Yakin benar dia kali ini. Akhirnya Usman berjaya dapatkan nombor Nur Mutmainnah.

"Assalamu'alaikum.." perlahan suara Sufian memberi salam dalam talian.

"Wa'alaikumussalam.... Ni siapa yaa?" soal Nur Mutmainnah kembali.

"Eerr... Saya ni Sufian. Cik Nur memang tak kenal saya pun.Tak pa lah saya kenalkan diri saya dulu. Saya Sufian. Tahun akhir jurusan sains politik." Sufian seolah-olah mati akal untuk meneruskan percakapan.

"Yaa.. Boleh saya tahu jika ada yang boleh saya bantu?" tanya Nur Mutmainnah. Sufian sedikit gugup berhadapan dengan situasi begini. Dia serba salah samada nak putuskan talian atau berterus terang saja. Lama juga Sufian berdiam tak terkata apa-apa.

"Ada orang ke tak ada ni?" Nur Mutmainnah seakan bercakap seorang diri. Sufian cepat-cepat menumpukan perhatian. Peluh mula menyiram ke dahinya.

"Sebenarnya saya nak lamar cik Nur....." terus Sufian putuskan talian. Dia seolah-olah tak mahu dengar apa kata balas dari Nur Mutmainnah. Nur Mutmainnah sedikit terkejut dengan tindakan Sufian itu. Sufian terus meraup wajahnya.

"Aduuuh.... Agak-agak dia terima tak lamaran aku tadi? Dah la aku buat kerja ekspres pulak tu." Sufian masih lagi bermain dengan perasaannya. Dia pun tak percaya dengan apa yang dia katakan tadi.


Esoknya Sufian menerima 1 mesej dari Nur Mutmainnah. Ringkas saja tulisannya..

"Jika awak benar-benar serius, pergilah berjumpa dengan ibu bapa saya..."

Terbeliak mata Sufian bila membaca mesej itu. Dia bagaikan tak percaya apabila Nur Mutmainnah menerima lamarannya. Dibacanya sekali lagi mesej itu. Yaa. Benar. Nur Mutmainnah sudi terima lamarannya. Gembiranya bukan kepalang lagi. Tanpa membuang masa dia terus berjumpa Usman untuk berkongsi berita gembira itu. Usman turut menyokong sahabat baiknya itu. Akhirnya pada cuti raya puasa, Sufian pergi bertamu ke rumah Nur Mutmainnah. Dia mengajak Usman turut serta. Pada mulanya dia berasa gementar untuk ke rumah Nur Mutmainnah. Tapi oleh kerana ingin tunjukkan kesungguhannya, dia gagahi jua.

Encik Fuad, ayah Nur Mutmainnah sudah dimaklumkan bahawa ada kawan lelaki ingin bertamu ke rumah mereka. Dari awal lagi ayahnya sudah sedia untuk menerima tetamu. Sufian tiba bersama Usman ke rumah Nur Mutmainnah. Langkah mereka perlahan tika melintasi pintu pagar.

"Assalamualaikum..." mereka memberi salam.

"Waalaikumussalam..." sahut ayah Nur Mutmainnah.

"Masuk lah. Jangan malu-malu." pelawa encik Fuad kepada mereka berdua.

"Kau lah masuk dulu Man." Sufian masih bermain tolak-tolak dengan Usman. Masing-masing berasa malu untuk masuk dulu ke rumahnya. Akhirnya Sufian terpaksa menunjukkan kejantannya masuk ke rumah Nur Mutmainnah dengan tenang. Mereka berdua pun perkenalkan diri masing-masing. Nur Mutmainnah tak keluar dari dapur. Air dan kuih pun disuruh adik lelakinya yang hantarkan. Rancak mereka berdua berbual dengan ayahnya. Tiba-tiba...

"Pak cik nak tanya kamu, Sufian..." soal encik Fuad. Mata Sufian terkebil-kebil sambil cawan dipegangnya masih berada di mulut.

"Apa dia pak cik..." jawab Sufian. Tangannya mengelap lembut mulutnya. Usman dari tadi lagi sudah memaku tepat matanya ke arah encik Fuad. Nur Mutmainnah turut memasang telinga. Kebetulan dia berada tidak jauh dari ruang tamu.

"Pak cik nak tanya kamu betul-betul ni. Kamu ni nak kat anak pak cik ke?" Sufian terdiam.

"Macamana pulak ayah dia boleh tahu aku ni suka kat anak dia?" bisik hati Sufian. Dia masih terdiam. Tak tahu nak balas apa. Encik Fuad masih tepat memandang Sufian.

"Kamu dengar tak pak cik tanya ni?" encik Fuad mula sedikit mengeras.

"Saya, saya dengar pak cik... Yaa, memang saya suka kat anak pak cik dan saya dah bercadang nak lamar dia untuk jadi isteri saya pak cik..." Sufian berterus terang walaupun suaranya sedikit ketar.

"Sebenarnya camni Sufian.. Pak cik bukan tak suka dekat kamu. Cumanya pak cik dah ada calon untuk Nur Mutmainnah tu.."

"Calon??" Sufian tercengang. Nur Mutmainnah juga turut tercengang. Dia pun tak pernah tahu akan hal ini. Tiba-tiba saja ayahnya mengatakan begitu.

"Yaa... Lagipun anak pak cik ni tak abis lagi belajarnya di universiti." encik Fuad menjelaskan keadaan.

Nur Mutmainnah teringin benar bertanya pada ayahnya tika itu juga. Namun dia tahankan diri. Menunggu saja Sufian dan Usman pulang dahulu. Sufian sudah kelihatan hampa. Mukanya mula berubah. Usman awal-awal lagi sudah memegang bahu Sufian. Dia cuba menyelami perasaan Sufian kala ini. Sufian ingin sahaja membantah. Namun dia sabarkan diri. Dia tertunduk. Tiba-tiba terpacul dari mulutnya,

"Tak apa lah pak cik. Kami minta diri dulu..." lemah bicaranya....


Bersambung....... Ikuti episod akhir nanti...

4 February 2011

MISI KELUARKAN 9 ORANG AKHAWAT DARI RUMAH MEREKA KE TEMPAT SELAMAT, BERJAYA!

Assalamualaikum semua...

Alhamdulillah misi kami selesai.

Kisahnya bermula apabila Exco Sambutan dan Rehlah DPMM menelefon kami untuk minta bantuan. Katanya pelajar perempuan sekarang terkepung di rumah mereka kerana rusuhan sedang berlangsung. Kedengaran kaca2 pecah di luar rumah. Mereka ketakutan. Ada yang nak menangis dan lelah(asma). Para pelajar perempuan tersebut perlu keluar dari rumah kerana jam 3 pagi nanti kami kena berkumpul di markaz pelajar Malaysia untuk bertolak ke lapangan terbang Iskandariah dan terus berlepas ke Jeddah, Arab Saudi. Jam menunjukkan jam 8 malam lebih. Kami berfikir dan berbincang sesama kawan serumah. Saya bertanyakan keadaan mereka di sana. Keadaan masih belum reda, jawab mereka. Saya kata tunggu reda sedikit, kami akan tolong bawa keluar kesemua akhawat tersebut. Kami tak boleh keluar sesuka hati kerana perintah berkurung masih berkuat kuasa. Sebelum itu, exco telah cuba untuk ambil mereka tapi tak berjaya kerana keadaan tak mengizinkan.

Pelajar akhawat minta supaya hantarkan sebuah van sewa untuk ambil mereka sekali gus. Exco menelefon penyewa van(warga arab). Penyewa van tak luluskan permintaan kerana dia pun tak berani nak masuk ke kawasan tersebut(rumah akhawat). Kami berbincang dan akhirnya kami putuskan kami sendiri pergi ambil akhawat kita di rumah mereka. 9 orang akhawat yang perlu kami keluarkan. Tenaga kami hanya 5 orang saja. Cuba minta bantuan ikhwah yang lain, tapi ada yang sibuk. Maka kami putuskan bahawa kami 5 orang saja yang pergi ambil. Dengan rasa berdebar2 kerana keluar dari rumah disaat perintah berkurung masih berkuat kuasa, kami kuatkan langkah. Kami tak mahu tunggu lewat malam lagi kerana kemungkinan rusuhan akan berlaku lagi. Akhawat menghantar berita bahawa keadaan kembali stabil. Maka kami ambil peluang ini untuk keluar dari rumah menuju ke rumah mereka. Bismillah...

Keluar saja dari rumah, sudah kelihatan sekumpulan anak2 muda sedang berkawal. Di tangan mereka terpegang rapi pedang, parang dan kayu. Kami sedikit debar. Kuatkan langkah. Mereka bukan nak merusuh. Tapi sebagai petugas rukun tetangga penduduk arab tempatan. Tapi kami tetap berjaga2. Bila melintasi mereka, ucapan salam kami berikan sambil bertanyakan khabar mereka. Alhamdulillah mereka sambut dengan senyuman. Kami lega. Sepanjang jalan kaki kami ke rumah akhawat tersebut ada beberapa kumpulan sedang mengawasi kawasan2 mereka. Semuanya ada pedang, parang dan kayu di tangan. Semuanya sambut kami dengan senyuman bila salam yang kami ucapkan pada mereka. Alhamdulillah lepas walaupun hati kami tetap berdebar2.....

Sampai sahaja di rumah akhawat terbabit, kelihatan hanya tinggal kesan rusuhan sebentar tadi. Batu2 dan sisa2 kaca yang pecah bertaburan. Akhawat mula turun ke bawah. Saya sempat bertanya kepada salah seorang dari mereka yang datang lelah. Alhamdulillah masih baik2 saja. Barang2 semua sudah sedia. Tuan rumah(baba) mereka berbesar hati untuk menemani kami. Asalnya kami nak bawa akhawat ikut jalan yang kami lalu tadi. Tapi baba nak bawa ikut jalan besar. Kami menolak sebab lagi berbahaya jika ikut jalan besar. Rusuhan bila2 masa saja boleh berlaku lagi. Baba bertegas. Kami cuba akur. Warga arab mula memandang kami ketika kami mula keluar ke jalan besar. Kami masih buat seperti tiada apa2. Datang 2 orang warga arab ke arah kami. Bertanya ke mana kami ingin pergi. Baba melayani mereka. Akhirnya warga arab tadi sudi iring kami untuk naik teksi ke destinasi kami. Sepanjang kami berjalan kaki menuju tempat tunggu teksi, kelihatan anak2 muda arab sedang memegang kayu dan pedang sambil berkawal. Sempat lagi mereka menegur kami dari jauh. Kami tak pedulikan mereka. 2 orang warga arab tadi beri jaminan bahawa jangan risau. Saya sempat melihat keadaan sekitar. Memang baru berlaku rusuhan sebentar tadi. Bisik hati kecil saya.

Sampai saja ke tempat tunggu teksi, mereka tolong tahankan teksi untuk kami. Namun kereta persendirian pun mereka cuba tahan supaya boleh bawa kami ke destinasi. Akhirnya sebuah teksi berhenti dan terus seorang rakan kami mengiringi 3 orang lagi akhawat pergi dulu ke destinasi. Kami yang lain masih menunggu. Debaran hati kami mula menurun kerana ada warga arab yang sudi iring dan bantu kami. Akhirnya mereka menahan sebuah van persendirian untuk membawa kami sekaligus menuju ke destinasi. Pemandu tersebut berhenti. Alhamdulillah... Kami semua selamat menaiki van tersebut. Berkali2 kami ucapkan terima kasih kepada baba dan warga arab yang tak jemu mengawal kami.

Van tadi terus membawa kami ke destinasi. Dalam perjalanan ada sekatan jalanraya dari penduduk tempatan yang sedang berkawal. Van perlahankan kelajuan. Lepas sekatan. Dalam perjananan seterusnya saya sempat melihat ke bank HSBC tempat kami mengambil duit yang telah terjejas teruk akibat rusuhan. Kelihatan 3 buah kereta kebal masih berkawal di hadapan bank. Debaran kami bertambah bila berhadapan dengan sekatan jalanraya oleh tentera berdekatan Stadium Mansurah. Tentera suruh pemandu van ke tepi untuk mudahkan mereka memeriksa kami. Pemandu van tak henti2 menyebut bahawa kami ini pelajar Malaysia. Saya agak ''cuak' bila melihat tentera yang berkawal sedang menggalas kemas senjata automatik AK 47. Tentera yang bertanya pada kami sedikit seronok bila kami balas dalam bahasa arab. Kami lega bila lihat mereka sentiasa senyum melayan kami. Ketika itu saya sempat memandang pada jalan yang menuju ke universiti kami. Kelihatan 2 buah kereta kebal sedang melintangi jalan. Jalan menuju ke kuliah ditutup. Akhirnya tentera lepaskan kami. Senyuman mereka itu menyenangkan hati kami. Alhamdulillah....

Kami hampir sampai ke destinasi sebenar, tapi ada 1 lagi sekatan jalanraya oleh polis berpakaian preman. Van kami disuruh ke tepi. Namun bila mereka melihat kami kesemuanya orang Malaysia, terus mereka lepaskan kami. "Kullu maliziyin.. yallaah..."(semuanya orang Malaysia,jalaan) sambil melemparkan senyuman kepada kami. Lepas lagi... Alhamdulillah.. Akhirnya kami selamat sampai ke destinasi. Akhawat selamat naik ke rumah. Kami lega. Tugas kami dah selesai. Tika dalam perjalanan pulang ke rumah kami pula, ada beberapa kumpulan anak2 muda arab sedang berkawal. Pedang dan kayu semestinya ada di sisi mereka. Namun mereka layan kami dengan baik sambil kami sempat bersalaman dengan mereka. Bertanyakan khabar. Alhamdulillah.. Sekatan jalanraya oleh penduduk tempatan tetap ada sepanjang perjalanan kami pulang ke rumah.. Akhirnya kami selamat sampai ke rumah. Jam dah menunjukkan jam 11 malam lebih. Dalam hati kami... "Alhamdulillah.. Misi kita selesai.. :) "

5 January 2011

ISU BKAN MELAKA : Ulasan peribadi penulis.

Assalamualaikum semua..

Sudah lama penulis tidak menulis blog. Mungkin kerana sibuk yang dibuat2. Heheheh. Tambahan pula peperiksaan sudah hampir.

Kali ini penulis ingin mengulas sedikit tentang isu yang semakin menjadi2 di Mesir ini iaitu isu BKAN Melaka atau Badan Kebajikan Keluagra Islam Melaka Mesir(BKKIMM). Boleh ziarah web rasmi BKKIMM di sini.

Isu yang terjadi di musim peperiksaan ini bukanlah 1 perkara yang remeh. Ini menyebabkan fikiran boleh terganggu dan akhirnya melemahkan semangat kawan2 kita yang lain untuk mengambil peperiksaan. Kerana 'perang psikologi' juga mampu menewaskan musuh. Bagi mereka yang tak ambil cakna, mungkin tak rasa apa2. Tapi bagi mereka yang sekian lama bersusah payah dalam BKKIMM amatlah merasainya. Penulis sudah membaca kenyataan rasmi YDP BKKIMM berkenaan isu ini. Maka isu ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng. Dan kami semua(selain anak2 Melaka) juga cuba merasai susah payah anak2 Melaka saat ini dalam menghadapi dugaan ini.

Berkenaan idea untuk menubuhkan IMAM atau persatuan lain untuk menggantikan BKKIMM adalah 1 tindakan kurang bijak. Walaupun dilakukan oleh orang2 yang berakal sekalipun. Menggantikan nama dan peranan merupakan dua perkara yang berbeza. Gantikan nama, masih AJK yang sama. Tapi jika gantikan peranan, maka AJK yang sedia ada pasti rombak. Bagi penulis jika tukar nama ke IMAM sahaja maka tiada masalah. Tapi bila tukar nama dan peranan, maka ini masalah. Bukan kerana tagihkan jawatan. Tapi kita berbicara tentang hak. Janganlah kerana mendengar dari 2,3 kerat manusia yang tak reti ampu menyebabkan kerajaan negeri pun terikut lenggokan tarian yang dimainkan oleh tukang ampu? Cubalah gunakan akal yang sempurna itu untuk memikirkan hal keadaan anak2 Melaka merangkap rakyat negeri Melaka di Mesir ini? Secara logiknya BKAN Melaka tak perlu dirombak kerana anak2 Melaka tak ramai. Maka ini bertambah mudah untuk BKKIMM uruskan hal ehwal anak2 Melaka di Mesir.

Ancaman apa yang kerajaan Melaka dapat sehinggakan nak tukar organisasi yang ada sekarang? Apakah ada laporan setebal 6 inci mengatakan BKKIMM selama ini menzalimi anak2 Melaka di bumi Mesir ini? Atau ada laporan rasuah dan salah laku di kalangan pemimpin2 BKKIMM? Bagi penulis tak lebih kerana unsur2 politik sempit yang dimainkan oleh tukang ampu. Jangan jadikan anak2 Melaka di Mesir sebagai mangsa amalan politik sempit.

Penulis tak mahu ulas tentang penubuhan kelab parti politik kerana bagi penulis penubuhan haram memang tak layak diulas kerana seharam2nya(100x).

Lihatlah pada hak anak2 Melaka. Bukan nak sibuk sesuka hati pada negeri Melaka. Tapi jika isu ini tak diselesaikan maka akan merebak ke BKAN2 lain pula. Mustahil kah? Tak mustahil selagi orang akal sempit bermain politik sempitnya. Kita berbicara tentang hak. Setelah sekian lama BKKIMM berkhidmat untuk ahli2nya tanpa mintak upah walau seduit pun dari ahli2nya. Mengapa perlu dirombak hanya kerana dengar hasutan kaki ampu yang tak reti ampu?

Tak pernah lagi BKKIMM boikot mana2 rombongan dari kerajaan negeri Melaka. Sebagai organisasi yang mementingkan kerjasama, maka BKKIMM membuka seluas2nya pintu kerjasama dengan mana2 pihak. Dan ini juga berlaku kepada semua pihak di Mesir ini. Samada peringkat pusat mahupun cawangan2. Jika tujuan penukaran organisasi sebagai penyelarasan untuk semua persatuan anak negeri tak kira di Mesir mahupun Malaysia, bagi penulis cukuplah tukar nama sahaja. Kerana BKKIMM ada perlembagaannya sendiri. Susurilah perjuangan BKKIMM di Mesir selama ini. Kepada tukang ampu pun pernah jadi ahli BKKIMM di Mesir. Masakan tidak kamu rasainya?

Penulis terasa kerana kami merupakan 1 kesatuan. Saudara, rakyat, kawan dan lain2.. Inilah kesatuan kami. Cubit paha kanan, sampai terasa sakit 1 tubuh. Jika rayuan yang diperlukan, maka kami rela merayu supaya kekalkan BKKIMM. Anda ada kuasa. Anda mampu merancang. Anda mampu berkehendak. Tapi ingatlah... Bagaimana pula kuasa Allah? Bagaimana pula perancangan Allah? Bagaimana pula kehendak Allah? Jika tilik pada Allah belaka, bukan sekadar duduk, hidup pun belum tentu lagi kita ini jika Allah tak izinkan. Jadi, kerdilkan kita ini? Maka janganlah ambil sifat takabbur Allah itu dihias pada diri kita.... Bukan setakat Allah saja yang murka, orang pun meluat tengok kita....

Penulis pernah bermukim di Melaka 7 tahun. Dari mula penulis tak boleh bercakap sehinggalah penulis bersekolah rendah di Melaka. Kami doakan moga anak2 Melaka tabah hadapi semua ini. Kami sentiasa doakan anda.... Selamat menjawab peperiksaan... Wallahu a'lam.


"esok awan akan bercerita
kedudukannya di mercu
yang sentiasa berubah
amatilah dan tahu sendiri
mengapa ada gejala
mengapa reaksi amarah
melaungkan intifada
itu hak kita sesama." -As Sahar.

23 December 2010

AS-SAHAR - JIHAD

esok awan akan bercerita
kedudukannya di mercu
yang sentiasa berubah
amatilah dan tahu sendiri
mengapa ada gejala
mengapa reaksi amarah
melaungkan intifada
itu hak kita sesama

zaman memakan zaman
kehidupan kita tertindas
tawarikh berganti tawarikh
masih di takuk lama

kalau dah yahudi itu yahudi juga
busuk hati hasad dengki
menjadi darah daging
kau pandai bermuka, kaulah penipu
agama apa? syaitan punya jalan
nantilah tel aviv
kau akn ditimpa bencana
berkat kuasa tuhan yang esa
hanya kepadanya sahaja kita berserah
akan erti jihad kita

kita ada di belakangmu
palestin! palestin!
kita bersama membasmi
zioness! zioness!

jihad!

walau bergelumang sengsara
walau bermandikan darah

17 December 2010

Senjata makan tuan.. Kita tengok sapa yang kena.. :-)



Diambil dari blog Kedahlanie.





KUALA LUMPUR, 17 Dis:
Keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa mahkamah boleh mengenepikan keputusan Speaker Dun Perak kini bakal makan tuan apabila Pakatan Rakyat mahu mencabar keputusan Speaker Dewan Rakyat.

Oleh itu, pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa keputusan Speaker Dewan Rakyat tidak boleh dicabar oleh mahkamah telah tertolak dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

Demikian kata peguam Mohamed Hanipa Maidin (gambar), Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, Mohd Nazri melabelkan ahli parlimen Pakatan Rakyat sebagai 'bodoh dan gila' kerana mengugut untuk mengheret speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ke mahkamah.

Mengulas kenyataan ahli parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh - Nazri, menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal parlimen berkata mahkamah tidak boleh mencampuri urusan atau prosiding Dewan Rakyat.

“Ini kerja gila dan saya percaya ia akan ditolak oleh mahkamah kerana parlimen ada supremasinya,” katanya di lobi parlimen hari ini.

Menurut Nazri, telah ada penghakiman yang dengan jelas menyatakan bahawa mahkamah tidak mempunyai jurisdiksi atau bidang kuasa ke atas Parlimen.

Karpal yang merupakan seorang peguam sebelum ini berkata tindakan akan diambil ke atas Speaker Dewan Rakyat, Datuk Pandikar Amin Haji Mulia kerana menyalah-gunakan kuasa meluluskan usul menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga ahli parlimen yang lain, termasuk dirinya selama enam bulan.

Bagi Hanipa, Umno telah terbelit dengan tindakannya sendiri apabila seolah-olah membenarkan tindakan Mahkamah Persekutuan campur tangan dalam kes keputusan Speaker Dun Perak V Sivakumar apabila beliau menggantung Zambry Abdul Kadir dan enam Exco haramnya.

"Adakah Nazri tidak sedar dalam kes Perak, Umno telah menyalahgunakan mahkamah untuk cabar keputusan V Sivakumar, Speaker Dun Perak.

"Bukankah Mahkamah Persekutuan telah memutuskan keputusan Sivakumar sebagai Speaker boleh dicabar. Sekarang kes Perak ini dah makan tuan," kata Hanipa dalam kenyataannya.

Ini kerana, kedudukan Speaker Dun dan Speaker Dewan Rakyat tidak ada bezanya dalam konteks sistem dewan perwakilan di Malaysia. Jika keputusan Speaker Dun boleh dicabar, maka keputusan Speaker Dewan Rakyat juga boleh dicabar.

15 December 2010

TERBARU : Ceramah Dato' Seri Anwar Ibrahim di Taman Melati.