Assalamualaikum semua...
Alhamdulillah misi kami selesai.
Kisahnya bermula apabila Exco Sambutan dan Rehlah DPMM menelefon kami untuk minta bantuan. Katanya pelajar perempuan sekarang terkepung di rumah mereka kerana rusuhan sedang berlangsung. Kedengaran kaca2 pecah di luar rumah. Mereka ketakutan. Ada yang nak menangis dan lelah(asma). Para pelajar perempuan tersebut perlu keluar dari rumah kerana jam 3 pagi nanti kami kena berkumpul di markaz pelajar Malaysia untuk bertolak ke lapangan terbang Iskandariah dan terus berlepas ke Jeddah, Arab Saudi. Jam menunjukkan jam 8 malam lebih. Kami berfikir dan berbincang sesama kawan serumah. Saya bertanyakan keadaan mereka di sana. Keadaan masih belum reda, jawab mereka. Saya kata tunggu reda sedikit, kami akan tolong bawa keluar kesemua akhawat tersebut. Kami tak boleh keluar sesuka hati kerana perintah berkurung masih berkuat kuasa. Sebelum itu, exco telah cuba untuk ambil mereka tapi tak berjaya kerana keadaan tak mengizinkan.
Pelajar akhawat minta supaya hantarkan sebuah van sewa untuk ambil mereka sekali gus. Exco menelefon penyewa van(warga arab). Penyewa van tak luluskan permintaan kerana dia pun tak berani nak masuk ke kawasan tersebut(rumah akhawat). Kami berbincang dan akhirnya kami putuskan kami sendiri pergi ambil akhawat kita di rumah mereka. 9 orang akhawat yang perlu kami keluarkan. Tenaga kami hanya 5 orang saja. Cuba minta bantuan ikhwah yang lain, tapi ada yang sibuk. Maka kami putuskan bahawa kami 5 orang saja yang pergi ambil. Dengan rasa berdebar2 kerana keluar dari rumah disaat perintah berkurung masih berkuat kuasa, kami kuatkan langkah. Kami tak mahu tunggu lewat malam lagi kerana kemungkinan rusuhan akan berlaku lagi. Akhawat menghantar berita bahawa keadaan kembali stabil. Maka kami ambil peluang ini untuk keluar dari rumah menuju ke rumah mereka. Bismillah...
Keluar saja dari rumah, sudah kelihatan sekumpulan anak2 muda sedang berkawal. Di tangan mereka terpegang rapi pedang, parang dan kayu. Kami sedikit debar. Kuatkan langkah. Mereka bukan nak merusuh. Tapi sebagai petugas rukun tetangga penduduk arab tempatan. Tapi kami tetap berjaga2. Bila melintasi mereka, ucapan salam kami berikan sambil bertanyakan khabar mereka. Alhamdulillah mereka sambut dengan senyuman. Kami lega. Sepanjang jalan kaki kami ke rumah akhawat tersebut ada beberapa kumpulan sedang mengawasi kawasan2 mereka. Semuanya ada pedang, parang dan kayu di tangan. Semuanya sambut kami dengan senyuman bila salam yang kami ucapkan pada mereka. Alhamdulillah lepas walaupun hati kami tetap berdebar2.....
Sampai sahaja di rumah akhawat terbabit, kelihatan hanya tinggal kesan rusuhan sebentar tadi. Batu2 dan sisa2 kaca yang pecah bertaburan. Akhawat mula turun ke bawah. Saya sempat bertanya kepada salah seorang dari mereka yang datang lelah. Alhamdulillah masih baik2 saja. Barang2 semua sudah sedia. Tuan rumah(baba) mereka berbesar hati untuk menemani kami. Asalnya kami nak bawa akhawat ikut jalan yang kami lalu tadi. Tapi baba nak bawa ikut jalan besar. Kami menolak sebab lagi berbahaya jika ikut jalan besar. Rusuhan bila2 masa saja boleh berlaku lagi. Baba bertegas. Kami cuba akur. Warga arab mula memandang kami ketika kami mula keluar ke jalan besar. Kami masih buat seperti tiada apa2. Datang 2 orang warga arab ke arah kami. Bertanya ke mana kami ingin pergi. Baba melayani mereka. Akhirnya warga arab tadi sudi iring kami untuk naik teksi ke destinasi kami. Sepanjang kami berjalan kaki menuju tempat tunggu teksi, kelihatan anak2 muda arab sedang memegang kayu dan pedang sambil berkawal. Sempat lagi mereka menegur kami dari jauh. Kami tak pedulikan mereka. 2 orang warga arab tadi beri jaminan bahawa jangan risau. Saya sempat melihat keadaan sekitar. Memang baru berlaku rusuhan sebentar tadi. Bisik hati kecil saya.
Sampai saja ke tempat tunggu teksi, mereka tolong tahankan teksi untuk kami. Namun kereta persendirian pun mereka cuba tahan supaya boleh bawa kami ke destinasi. Akhirnya sebuah teksi berhenti dan terus seorang rakan kami mengiringi 3 orang lagi akhawat pergi dulu ke destinasi. Kami yang lain masih menunggu. Debaran hati kami mula menurun kerana ada warga arab yang sudi iring dan bantu kami. Akhirnya mereka menahan sebuah van persendirian untuk membawa kami sekaligus menuju ke destinasi. Pemandu tersebut berhenti. Alhamdulillah... Kami semua selamat menaiki van tersebut. Berkali2 kami ucapkan terima kasih kepada baba dan warga arab yang tak jemu mengawal kami.
Van tadi terus membawa kami ke destinasi. Dalam perjalanan ada sekatan jalanraya dari penduduk tempatan yang sedang berkawal. Van perlahankan kelajuan. Lepas sekatan. Dalam perjananan seterusnya saya sempat melihat ke bank HSBC tempat kami mengambil duit yang telah terjejas teruk akibat rusuhan. Kelihatan 3 buah kereta kebal masih berkawal di hadapan bank. Debaran kami bertambah bila berhadapan dengan sekatan jalanraya oleh tentera berdekatan Stadium Mansurah. Tentera suruh pemandu van ke tepi untuk mudahkan mereka memeriksa kami. Pemandu van tak henti2 menyebut bahawa kami ini pelajar Malaysia. Saya agak ''cuak' bila melihat tentera yang berkawal sedang menggalas kemas senjata automatik AK 47. Tentera yang bertanya pada kami sedikit seronok bila kami balas dalam bahasa arab. Kami lega bila lihat mereka sentiasa senyum melayan kami. Ketika itu saya sempat memandang pada jalan yang menuju ke universiti kami. Kelihatan 2 buah kereta kebal sedang melintangi jalan. Jalan menuju ke kuliah ditutup. Akhirnya tentera lepaskan kami. Senyuman mereka itu menyenangkan hati kami. Alhamdulillah....
Kami hampir sampai ke destinasi sebenar, tapi ada 1 lagi sekatan jalanraya oleh polis berpakaian preman. Van kami disuruh ke tepi. Namun bila mereka melihat kami kesemuanya orang Malaysia, terus mereka lepaskan kami. "Kullu maliziyin.. yallaah..."(semuanya orang Malaysia,jalaan) sambil melemparkan senyuman kepada kami. Lepas lagi... Alhamdulillah.. Akhirnya kami selamat sampai ke destinasi. Akhawat selamat naik ke rumah. Kami lega. Tugas kami dah selesai. Tika dalam perjalanan pulang ke rumah kami pula, ada beberapa kumpulan anak2 muda arab sedang berkawal. Pedang dan kayu semestinya ada di sisi mereka. Namun mereka layan kami dengan baik sambil kami sempat bersalaman dengan mereka. Bertanyakan khabar. Alhamdulillah.. Sekatan jalanraya oleh penduduk tempatan tetap ada sepanjang perjalanan kami pulang ke rumah.. Akhirnya kami selamat sampai ke rumah. Jam dah menunjukkan jam 11 malam lebih. Dalam hati kami... "Alhamdulillah.. Misi kita selesai.. :) "
No comments:
Post a Comment