29 September 2010

PERGINYA SEORANG ULAMAK HEBAT NEGERI PERAK.

Diambil dari web Harakahdaily



GRIK, 30 Sept:
Pengasas Madrasah Ad-Diniah Al-Latiffiah atau lebih dikenali Pondok Pak Teh, Tuan Guru Datuk Abdul Latif Abdul Rahman telah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 1.00 pagi tadi selepas sesak nafas.

Tuan Guru Abdul Latif yang mesra dengan panggilan Pak Teh mendirikan pusat pengajian itu pada tahun 1967 dan lokasinya adalah berdekatan dengan perkarangan rumahnya. Pusat pengajian teletak di Kampung Kuak Luar, Pengkalan Hulu dalam daerah Hulu Perak.

Pondoknya pernah menjadi kontroversi. Setelah 10 bulan Pakatan Rakyat memerintah Perak telah meluluskan sebidang tanah seluas 45 hektar untuk membantu pondok sedangkan sekian lama dipohon semasa BN berkuasa sebelum itu tetapi tidak diluluskan.

Pak Teh merupakan anak jati kelahiran Kampung Kuak Hulu, Pengkalan Hulu.

Beliau dilahirkan pada tahun 1938 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu dalam tahun 1947 hingga 1953 dengan menamatkan pengajian hingga darjah 5. Pada peringkat awal, beliau mula menghafal kitab-kitab agama dengan dibimbing oleh Ustaz Omar Mohd Noh.

Selepas itu, beliau melanjutkan pengajiannya di peringkat menengah di Sekolah Arab (sistem pondok) yang dikenali dengan nama Pondok Asam Jawa di Pendang, Kedah antara 1956 hingga 1959.

Pak Teh sebenarnya seorang pelajar yang pintar kerana berpeluang melanjutkan pengajian ke Maktab Melayu Kuala Kangsar tetapi tidak meneruskannya kerana kemiskinan.

Kemudian Pak Teh meneruskan pengajian di Sekolah Agama Pondok Pasir Tumboh iaitu Sekolah ad-Diniah Bakriah, Kelantan dari tahun 1959 hingga 1967.

Beliau sempat berguru dengan beberapa orang ulama terkenal seperti Tuan Guru Mohamad Saman, Tuan Guru Abdul Rahman Ahmad, Tuan Guru Sulaiman Mohd Rabik dan juga ulama terkenal yang bermastautin di Kelantan seperti Tuan Guru Mustafa, Tuan Guru Abdul Aziz dan Tuan Guru Hashim Abu Bakar.

Beliau telah dapat mengekalkan pengajian secara sistem pondok di mana pengajian ditumpukan dengan mempelajari kitab-kitab Thurath iaitu kitab-kitab tradisi Islam.

Beliau adalah pakar rujuk dalam berbagai hal mengenai masalah agama. Mewarisi minat bapanya, Pak Teh juga bercucuk tanam dan berkebun buah-buahan. Minatnya itu juga kini tertumpah pada anak-anak muridnya di mana pelbagai jenis tanaman ditanam di pusat pengajian tersebut.

Selain dapat memanfaatkan tanah-tanah yang ada, hasil tanaman ini juga dapat memberikan pendapatan sampingan apabila dijual. Antara tanaman yang ditanam seperti ubi kayu, pinang, pisang, nenas, kangkung, bayam, sawi, tebu dan bermacam-macam buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk pokok-pokok akar kayu untuk perubatan.

Pada peringkat awal penubuhan Madrasah Ad-Diniah Al-Latiffiah, bilangan murid yang menerima cara pendidikan yang diperkenalkan itu hanyalah seramai tiga orang.

Kini setelah madrasah tersebut melangkau usia lebih 35 tahun, bilangan murid yang belajar di situ melebihi 400 orang secara sepenuh masa.

Kebanyakan pengajian ilmu di madrasah Pak Teh adalah bersumber daripada Kitab-kitab Jawi yang lebih popular dikenali sebagai kitab kuning dan kitab-kitab Arab.

Kaedah pengajian di madrasah yang berasaskan sistem pengajian pondok selalunya menggunakan 2 kaedah utama iaitu umumi dan nazomi. Selain itu juga kelas hafalan dipraktikkan secara meluas dalam sistem pengajian pondok. Antara kitab yang digunakan di Pondok Pak Teh ialah Minhajul Abidin (tasawuf), Mughni Muhtaj (feqah), Syuzu (nahu), Hadis Muwatta Imam Malik, Fathul Muin, Fathul Wahhab, Tafsir Nasafi, Ibnu Akil, Syarkawi, Usul Fiqh, Matan Zubad (feqah) dan Matan Majmuk Azhari.

Pak Teh merupakan Ahli Jawatankuasa Syariah Negeri Perak sejak 1994. Pengetahuannya yang luas khususnya dalam pemakaian kaedah kitab Arab dan cermat dalam mengeluarkan sesuatu usul atau pandangan telah banyak membantu perjalanan jawatankuasa syariah dan Majlis Fatwa Perak.

Di atas sumbangannya yang besar, Pak Teh telah dianugerahkan kurniaan Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) sempena menyambut ulang tahun hari keputeraan Paduka Sultan Perak ke-76. Istiadat pengurniaan tersebut telah berlangsung pada 19 April 2004 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Semoga rohnya ditempatkan bersama roh para rasul dan nabi, syuhada dan solihin di atas kegigihannya memperjuangkan agama Allah.

17 September 2010

SOKONG MUFTI KEDAH....

Diambil dari blog Kedahlanie.

MUFTI KEDAH SARAN HUKUM QISAS.





ALOR SETAR - Masyarakat kini harus kembali kepada ajaran al-Quran dengan melaksanakan hukum Qisas atau hukum balas bagi kesalahan jenayah melampau yang disifatkan kejam dan di luar tabii.

Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, hanya hukuman yang boleh memberi pengajaran kepada pesalah dan orang sekeliling dapat membendung jenayah kejam daripada terus berleluasa.

“Hukuman sedia ada tidak memberi pengajaran sewajarnya kepada masyarakat, tidak hairanlah jenayah makin berleluasa sehingga ada pihak sanggup membunuh warga emas, kanak-kanak mahupun membuang bayi tanpa ada belas kasihan,” katanya.

Sheikh Muhamad Baderudin berkata, hukuman Qisas seperti yang termaktub dalam kitab suci adalah sesuai untuk semua zaman, malah Allah SWT telah menyebut bahawa hukuman ini dapat memberi kehidupan yang selesa pada masyarakat.

“Apabila masyarakat melihat kesan daripada hukuman ini, contohnya mencuri hukumannya potong tangan. Mereka akan takut untuk melakukan jenayah itu kerana boleh menyebabkan mereka hilang anggota badan. Oleh itu mereka tidak berani buat begitu pada orang lain kerana hukum balas ini adalah supaya pesalah merasai keperitan mangsa,” katanya.

Sheikh Muhamad Baderudin mengulas kejadian tragis yang menimpa jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya yang dipukul, dibunuh dan dibakar selain abu mayat kesemua mangsa dibuang ke dalam sungai, baru-baru ini.

Tragedi yang turut memberi kesan pada masyarakat ialah insiden seorang warga emas wanita, Lian Osman, 74, yang tinggal bersendirian di Yan, mati dibunuh selepas disamun di dalam rumah sendiri pada 15 Ogos lalu.

Kejadian lain membabitkan seorang wanita berusia 26 tahun, Suhana Mohd Shariff dari Kota Tanah, dekat sini, yang ditikam rakan baiknya sendiri sebanyak tujuh kali di perut menggunakan sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 17.8 sentimeter. Kejadian pada 2 Mei itu menggemparkan rakyat Kedah kerana dianggap kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Sheikh Muhamad Baderudin berkata, manusia menjadi semakin kejam apabila kehidupan mereka bertunjangkan duniawi sehingga sanggup berbunuhan demi harta kekayaan.

“Banyak faktor yang menyumbang kepada kekejaman, antaranya tekanan hidup, gila harta dan kuasa. Sikap cintakan duniawi punca berlakunya kepincangan dalam masyarakat. Kita sudah hilang nilai-nilai murni dan agama yang sepatutnya dipupuk sejak kecil,” katanya.

Menurutnya, ajaran Islam tidak hanya mementingkan hukuman setimpal, sebaliknya sebelum pesalah dikenakan hukuman, mereka perlu diberi didikan.

“Jika didikan tidak beri kesan, barulah dikenakan hukuman setimpal yang boleh memberi pengajaran. Ini termasuk gejala sosial seperti buang anak dan berzina,” katanya.

Sheikh Muhamad Baderudin turut kesal kerana perbuatan kejam yang banyak dipaparkan di dada akhbar menunjukkan realiti kepincangan masyarakat kini.

“Orang yang bertamadun tidak akan melakukan kekejaman yang melampau,” katanya.

26 August 2010

SIFAT KAMALAT ALLAH TA'ALA.


Assalamualaikum semua,

Entri kali ini penulis ingin berbicara tentang ilmu tauhid. 1 ilmu asas paling utama di dalam hidup umat islam. Semua orang sudah maklum bahawa bagi Allah itu adalah sifat-sifat kesempurnaan(kamalat). Tak usah dibayangkan bagaimana sempurnakah keadaanya itu. Apa yang penting kita i'tiqodkan bahawa Allah punyai sifat kamalat nya itu. Mustahil bagi Allah ada sifat kekurangan. Fardhu taqdir jika Allah ada sifat kekurangan, maka Dia tidak layak jadi tuhan. Sebab itulah kita wajib i'tiqodkan bahawa Allah punyai sifat kamalat yang tidak terhingga. Tidak mampu dikira oleh kita.

Asma ullah al husna yang mempunyai bilangan 99 itu masih lagi boleh dikira. SedangJustify Fullkan bukan 99 sahaja. Bahkan lebih dari itu. Jadi tiada siapa yang aqalnya salim berkata Allah mempunyai batasan dari segi bilangan sifat kamalat nya. Benar,aqal yang salim takkan menghadkan bilangan sifat kamalat Allah ta'ala.

Namun di celah-celah itu telah timbul syubhat(keraguan) terhadap golongan yang mempelajari sifat 20. Ada segolongan yang tidak memahami ilmu tauhid dengan mudah mengatakan bahawa kami ini telah menghadkan sifat Allah hanya 20 sahaja. Sedangkan sifat kamalat Allah ta'la tidak terhitung banyaknya.

Benar kata mereka bahawa sifat kamalat Allah tidak terhitung dek bilangan. Tapi kami tak pernah menghadkan bilangan sifat kamalat Allah ta'ala dengan 20 sahaja. Bahkan tak terkira. Cumanya telah disusun dan disimpulkan oleh para ulamak sebanyak 20 sifat yang wajib dipelajari ini sebagai kemudahan untuk kita yang jahil ini. Yang senantiasa berhajat kepada Allah.

20 sifat ini pun ambil masa yang lama untuk memahami dan pelajarinya. Apatah lagi jika belajar semua sifat kamalat Allah ta'ala yang tak terhingga itu?

Ada 25 orang rasul yang wajib diketahui. Adakah rasul hanya ada 25 saja? Sedangkan rasul lagi nabi ada 313 orang(ada yang khilaf ulamak). Dan nabi pula ada 124 ribu orang. Ada 10 malaikat yang wajib diketahui. Adakah malaikat ada 10 saja? Sedangkan bilangan mereka melebihi bilangan manusia.

Jadi ulamak kalam tidak menghadkan sifat kamalat Allah ada 20 saja. Cuma ini sebagai sifat yang wajib diketahui. Bila dikatakan wajib tahu 25 rasul, maka tak menafikan rasul-rasul yang lain. Orang yang aqalnya salim, dia mampu faham perkara ini dengan mudah. Melainkan mereka yang tak mahu kebenaran saja yang sengaja bodoh kan diri dalam ilmu aqidah.

Kalau kita melihat karangan ulamak di dalam kitab mereka pun tidak mengatakan sifat kamalat Allah ada 20 saja. Sebagai contoh penulis naqal dari kitab yang dipelajari sendiri oleh penulis dari seorang tok guru dari Narathiwat merangkap anak murid bongsu Syaikh Abdul Qadir Wangah(Tok Dir Sekam). Sengaja penulis ungkapkan begini kerana ramai dikalangan orang sekarang hanya tahu copy paste sahaja.

Kitab yang bernama Bahjatul Mubtadin wa Farhatul Mujtadin menyebut,

"Maka setengah daripada sifat kamalat itu tiga belas sifat wajib atas kita mengetahui akan dia atas jalan tafsil..."

Bila tuan pengarang menyebut SETENGAH, maka fahamlah oleh kita bahawa sifat kamalat yang dipelajari oleh kita ini iaitu sifat 20 ini adalah setengah atau sejuzuk daripada sifat-sifat kamalat Allah yang tidak terkira itu. Suka penulis ingin syarahkan sedikit berkenaan 13 sifat itu. Qaul yang masyhur ada 20. 13 ini qaul yang rojih bagi Imam Asy'ari. Walaupun digugurkan sebutan segala sifat ma'nawiyah yang tujuh itu, tidaklah dinafikan sama sekali. Imam Asy'ari mengakui bahawa ada cuma tak dikirakan sahaja.

Maka tertutuplah pintu tohmah sesetengah orang yang tak memahami aqidah ahlu sunnah wal jamaah ini. Mereka mengatakan bahawa cukuplah kita belajar dari surah al ikhlas tentang keesaan Allah. Kita tanya balik, kalau itu sudah cukup, berapa sifat Allah yang ada dalam surah al ikhlas itu? Bukankah sifat kamalat Allah itu tak terhingga?? Ada aqal yang salim, fikir-fikirkanlah....Wallahu a'lam.

23 August 2010

Jawapan balas terhadap tuduhan melulu blog Nak Jadi Budak Baik.

Assalamualaikum semua..

Salam Ramadhan Kareem untuk semua kawan-kawan penulis. Moga ramadhan kali ini lebih baik dari sebelumnya. Amiiiin.

Penulis terpanggil untuk memberikan sedikit respon terhadap tulisan sahabat kita dari blog Nak Jadi Budak Baik.

Penulis menyambut baik penjelasan admin blog tersebut tentang hadis yang beliau berikan itu. Hadis Nabi tak boleh sekadar dengar dan terus keluarkan hukum. Betul! Penulis setuju. Hadis nabi kita perlu rujuk ulamak. Berdasarkan apa yang penulis belajar pun memang tak boleh makan dah bila masuk waktu subuh. Kita setuju dengan penjelasan beliau.

Semasa penulis membaca entri beliau yang bertajuk Ilmu Sesat itu, penulis memuji tindakan beliau cuba menjelaskan apa yang kesamaran. Tiba-tiba mood penulis terpotong bila terlihat ayat beliau yang menulis, "Nak aktifkan persatuan,baguslah. Tapi janganlah bila ditanya benda yang tidak tahu, ringan je mulut mengeluarkan hukum."
Sekejap. Kenapa tiba-tiba beliau nak kaitkan dengan persatuan pula ni? Masa part ni penulis baca terus penulis berhenti! Memang dah bagus huraikan tentang hadis itu, tapi kenapa kesalahan yang dilakukan oleh ustaz yang dikatakan lepasan Mesir itu disandarkan kepada persatuan? Kalau benar pun ustaz itu lepasan Mesir, adakah beliau(admin blog) tahu yang ustaz itu dulu seorang yang aktif persatuan atau tak?

Ini tuduhan melulu! Terus terang penulis cakap bahawa tuduhan ini boleh disabit sebagai berniat jahat atau dengki dengan pelajar yang berpersatuan. Penulis pernah bersembang dengan seorang yang berfahaman wahabi. Dia mengatakan boleh makan jika dah masuk waktu sebab berdasarkan hadis, "Seandainya seseorang daripada kamu mendengar azan dan bekas makanan ada dihadapan kamu, maka janganlah letakkan bekas makanan tersebut (berhenti makan) sehinggalah kamu menyelesaikan hajat kamu (habiskan makanan)" (Riwayat Al-Baihaqi, Sohih mengikut syarat Imam Muslim)

Dia pegang zahir hadis dan terus keluarkan hukum. Jadi apa kena mengena dia aktif persatuan atau tidak? Jujur penulis cakap, bahawa bagi penulis, mengaji no. 1 dan persatuan no. 2 kerana dari sudut priority(keutamaan). Tapi dengan menyalahkan persatuan jika berlaku isu-isu begini, penulis bangkang. Berapa ramai yang aktif persatuan boleh berjaya? Beramai ramai yang tak aktif persatuan yang gagal? Perlu kah penulis sebut orang-orang yang alim tapi hebat dalam persatuan? Penulis rasa, pelajar Malaysia di Mesir cukup mengenali mereka. Ada yang pernah jadi Presiden PMRAM, BP PMRAM, Timbalan YDP BKAN dan lain-lain. Dan berapa ramai pula yang tak aktif persatuan sambil tidur yang tak pergi belajar??

Jika ustaz yang dimaksudkan itu salah dalam menghukum, itu individu dia saja. Bukan kerana dia aktif persatuan. Walaupun beliau(admin blog) tidak lah menyalahkan persatuan secara mutlak, tetapi tindakan beliau menyandarkan kesalahan yang dilakukan ustaz tersebut kepada persatuan maka penulis tak setuju walaupun penulis beranggap keutamaan kita ialah menuntut ilmu daripada persatuan. Tapi bukan bermaksud persatuan kena tinggalkan.. Ulamak menyebut ilmu aqidah lebih utama dari ilmu feqah, tapi bukan bermaksud tak perlu belajar ilmu feqah....

Huraian beliau berkenaan bab batal puasa itu sudah cantik. Tapi yang salahnya bila sandarkan kesalahan seorang ustaz itu dalam berhukum kepada persatuan.. Lain kali hati-hati dalam menulis.. Wassalam..





HUKUM ISLAM DI DALAM UMNO ADA 2 KATEGORI.

Diambil dari blog Kedahlanie.

Penulis Tamu - rahim othman,

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEimaPEhP8IpzWmCDPAacCWolf10OLlieQkZfPZ9vcT6StIubWuGFl7P5VPUcyIOqpSk0sPuJOtLKys7VpDzz7Jt5nkyIdm058wkxST29OhHGS0cejkvIHBDD5HFdxc_JP4C0thdrceTVSpp/s1600/2010-08-23_112137.jpg

Kepada orang Pakatan hukumnya lain. kepada orang UMNO BN hukumnya lain. Begitu juga undang-undang di Malaysia, satu undang-undang untuk pemimpin dan satu undang-undang untuk rakyat bawahan. Undang-undang untuk penyokong kerajaan lain, undang-undang untuk pembangkang lain..

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dalam kenyataan akhbar baru-baru ini -menegaskan hukum orang Islam mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan untuk orang bukan Islam adalah haram apatah lagi apabila ia dibaca di dalam khutbah Jumaat.

“Mendoakan supaya orang kafir mendapat kesejahteraan dan kebahagiaan adalah haram di sisi Islam. Berdoa mengharapkan orang kafir menerima dan memeluk Islam tidak salah tetapi tidak kena pada tempatnya jika dibaca dalam khutbah Jumaat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Tuan Mufti kata, tak kena pada tempatnya.. Ini juga membuatkan kita kurang faham..Apakah niat yang murni dan pengucapan yang begitu baik tak sesuai dilafazkan dalam masjid? atau dalam khutbah sekali pun??

Bagaimana pula dengan kes yang satu ini... Bertarikh 23 April 2010 dua hari sebelum PRK Hulu Selangor, dimana imam UMNO, pemimpin dan penyokong-penyokong UMNO berdoa di masjid untuk Kamalanathan calun BN bukan Islam. Majlis tersebut lengkap dengan solat hajat dan bacaan yasin lagi!! ... semata-mata untuk kemenangan Si Kamal..... Boleh pulak !. Tak haram kah ? ......... Jangan lah cuba nak mengelirukan rakyat. Rakyat boleh berfikir.

Ulamak UMNO di Jabatan Perdana Menteri kenapa tak bersuara dalam isu ini? Dah bisukah? atau dah hilang telor?. Ulamak muda UMNO pun sama ! Kenapa senyap menikus?

terbitan :

19 August 2010

IMAM DAN MAKMUM POLITIK....


Kau ingin menjadi imam
Kau juga ingin menjadi muazzin
Semuanya kau ingin boloti
Apakah terdaya kau nanti
Siapakah yang menobatkan
Siapa sudi engkau menjadi pemimpin
Biasan wajah di kaca
Memperlihatkan kedutmu

Tak ingin kami menjadi makmum
Sekiranya engkau imamnya
Kerana kami akur bersama
Engkau kekurangan syaratnya

Haruskah kami yang menanggung dosa
Sedangkan kami tahu engkau siapa
Si tua nyanyuk yang gila kuasa
Bukankah sudah masanya berundur

4 August 2010

Jom ulangkaji. Jangan berasa pandai..

Assalamualaikum semua.

Rasanya sudah lama tak 'update' blog ini. Alhamdulillah hari ini Allah izinkan penulis menaip lagi. Moga manfaat untuk semua.

Bersempena bulan Ramadhan yang makin hampir ini, penulis ingin membawa kawan-kawan semua mengulangkaji ilmu yang pernah kita pelajari dahulu. Kebanyakkannya kita dah tahu dahulu. Tapi tak salah untuk kita ulang. Kerana ilmu ini, jika diulang banyak kali pun ia memberikan pahala. Tambahan pula ilmu agama. Jadi marilah sama-sama kita menambahkan ilmu pengetahuan kita. Apa yang penulis ingin tuliskan ini ialah kesimpulan ringkas dari kitab ulamak kita, Sabilal Muhtadin. Supaya kawan-kawan dan penulis mudah memahaminya.


HUKUM JIKA MENINGGALKAN PUASA.

Ramai yang sudah maklum hukum mengerjakan berpuasa, tapi mungkin ramai yang kurang maklum tentang hukum jika meninggalkan puasa. Hukum bagi orang yang meninggalkan puasa ini ada 2. Pertamanya hukum tak puasa kerana ingkar kewajipannya. Dan keduanya ialah hukum bagi mereka tak puasa kerana malas.

Hukum bagi orang yang tak puasa kerana mengingkari keWAJIBan nya, maka boleh jadi KAFIR dan hendaklah disuruh bertaubat. Jika enggan bertaubat, maka hendaklah dihukum bunuh.

Hukum bagi mereka yang tak puasa kerana MALAS, hendaklah dipenjara dan tidak diberikan makan & minum pada waktu siang. Jika ia sudah berpuasa, barulah dibebaskan semula dari penjara.


SYARAT WAJIB PUASA.

Syarat wajib puasa ada 4 perkara:

1. Islam.
2. Beraqal. Orang gila tidak wajib berpuasa.
3. Baligh. Jika lelaki umur kebiasaannya ialah sekitar 15 tahun dan tanda mudahnya bila keluar mani akibat bermimpi di malam hari. Dan perempuan pula 9 tahun dan tanda mudahnya bila datang darah haid.
4. Berkuasa. Tak wajib puasa bagi orang yang sudah tua yang sudah tak larat. Dan juga bagi ibu yang sedang menyusukan anak. Diharuskan berbuka jika dikhuatiri anaknya tak mendapat susu secukupnya.


SYARAT SAH PUASA.

Syarat sah puasa pula ada 3 perkara:

1. Islam.
2. Beraqal.
3. Suci dari haid dan nifas. Bahkan diberikan pahala jika berniat 'tak puasa kerana ikut arahan Allah' iaitu orang haid dan nifas dilarang berpuasa.


RUKUN PUASA.

Rukun puasa ada 3 perkara.

1. Niat. wajib niat sebelum solat subuh. Niat tak terpakai jika berniat di pagi hari. Berlainan pula bagi puasa sunat. Boleh niat sebelum zohor selagi mana tak melakukan perkara yang membatalkan puasa.
2. Menahan diri dari melakukan perkara yang membatalkan puasa.
3. Orang yang berpuasa.


PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA.

Perkara yang membatalkan puasa ada 4 perkara.

1. Bersetubuh di siang hari bulan Ramadhan. Kena kaffarah jika melanggar larangan ini. Namun masih ada jalan lain untuk mengelak dari dikenakan kaffarah iaitu batalkan dulu puasa si suami. Cara ini digunakan pada mereka yang tak mampu tahan lagi walaupun berdosa kerana sengaja membatalkan puasa. Cumanya tidak dikenakan kaffarah sebab bukan batalkan puasa dengan bersetubuh.
2. Muntah dengan sengaja.
3. Keluarkan air mani dengan sengaja. Dimaafkan jika keluar mani kerana bermimpi dan tak sengaja.
4. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga. Rongga utama ialah mulut, telinga, hidung, qubul dan dubur.


PERKARA YANG MAKRUH DILAKUKAN KETIKA PUASA.

1. Melayani keinginan yang harus seperti bau makanan atau wangian.
2. Membuang darah atau berbekam.
3. Merasai makanan atau lainnya tanpa menelan sedikit pun.
4. Bersedap-sedap antara suami isteri.
5. Bersugi atau gosok gigi kemudian dari tergelincir matahari.
6. Mandi junub selepas fajar.


SUNAT-SUNAT PUASA.

1. Makan sahur walaupun dengan sebiji kurma.
2. Melewatkan sahur.
3. Menyegerakan berbuka puasa.
4. Berbuka dengan kurma.
5. Menjamu orang berbuka puasa.
6. Melebihkan belanja ke atas keluarga.
7. I'tikaf di masjid.
8. Tadarrus Al Quran dan zikir.
9. Menghidupkan malam lailatul qadar.

Wallahu a'lam...