4 August 2010

Jom ulangkaji. Jangan berasa pandai..

Assalamualaikum semua.

Rasanya sudah lama tak 'update' blog ini. Alhamdulillah hari ini Allah izinkan penulis menaip lagi. Moga manfaat untuk semua.

Bersempena bulan Ramadhan yang makin hampir ini, penulis ingin membawa kawan-kawan semua mengulangkaji ilmu yang pernah kita pelajari dahulu. Kebanyakkannya kita dah tahu dahulu. Tapi tak salah untuk kita ulang. Kerana ilmu ini, jika diulang banyak kali pun ia memberikan pahala. Tambahan pula ilmu agama. Jadi marilah sama-sama kita menambahkan ilmu pengetahuan kita. Apa yang penulis ingin tuliskan ini ialah kesimpulan ringkas dari kitab ulamak kita, Sabilal Muhtadin. Supaya kawan-kawan dan penulis mudah memahaminya.


HUKUM JIKA MENINGGALKAN PUASA.

Ramai yang sudah maklum hukum mengerjakan berpuasa, tapi mungkin ramai yang kurang maklum tentang hukum jika meninggalkan puasa. Hukum bagi orang yang meninggalkan puasa ini ada 2. Pertamanya hukum tak puasa kerana ingkar kewajipannya. Dan keduanya ialah hukum bagi mereka tak puasa kerana malas.

Hukum bagi orang yang tak puasa kerana mengingkari keWAJIBan nya, maka boleh jadi KAFIR dan hendaklah disuruh bertaubat. Jika enggan bertaubat, maka hendaklah dihukum bunuh.

Hukum bagi mereka yang tak puasa kerana MALAS, hendaklah dipenjara dan tidak diberikan makan & minum pada waktu siang. Jika ia sudah berpuasa, barulah dibebaskan semula dari penjara.


SYARAT WAJIB PUASA.

Syarat wajib puasa ada 4 perkara:

1. Islam.
2. Beraqal. Orang gila tidak wajib berpuasa.
3. Baligh. Jika lelaki umur kebiasaannya ialah sekitar 15 tahun dan tanda mudahnya bila keluar mani akibat bermimpi di malam hari. Dan perempuan pula 9 tahun dan tanda mudahnya bila datang darah haid.
4. Berkuasa. Tak wajib puasa bagi orang yang sudah tua yang sudah tak larat. Dan juga bagi ibu yang sedang menyusukan anak. Diharuskan berbuka jika dikhuatiri anaknya tak mendapat susu secukupnya.


SYARAT SAH PUASA.

Syarat sah puasa pula ada 3 perkara:

1. Islam.
2. Beraqal.
3. Suci dari haid dan nifas. Bahkan diberikan pahala jika berniat 'tak puasa kerana ikut arahan Allah' iaitu orang haid dan nifas dilarang berpuasa.


RUKUN PUASA.

Rukun puasa ada 3 perkara.

1. Niat. wajib niat sebelum solat subuh. Niat tak terpakai jika berniat di pagi hari. Berlainan pula bagi puasa sunat. Boleh niat sebelum zohor selagi mana tak melakukan perkara yang membatalkan puasa.
2. Menahan diri dari melakukan perkara yang membatalkan puasa.
3. Orang yang berpuasa.


PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA.

Perkara yang membatalkan puasa ada 4 perkara.

1. Bersetubuh di siang hari bulan Ramadhan. Kena kaffarah jika melanggar larangan ini. Namun masih ada jalan lain untuk mengelak dari dikenakan kaffarah iaitu batalkan dulu puasa si suami. Cara ini digunakan pada mereka yang tak mampu tahan lagi walaupun berdosa kerana sengaja membatalkan puasa. Cumanya tidak dikenakan kaffarah sebab bukan batalkan puasa dengan bersetubuh.
2. Muntah dengan sengaja.
3. Keluarkan air mani dengan sengaja. Dimaafkan jika keluar mani kerana bermimpi dan tak sengaja.
4. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga. Rongga utama ialah mulut, telinga, hidung, qubul dan dubur.


PERKARA YANG MAKRUH DILAKUKAN KETIKA PUASA.

1. Melayani keinginan yang harus seperti bau makanan atau wangian.
2. Membuang darah atau berbekam.
3. Merasai makanan atau lainnya tanpa menelan sedikit pun.
4. Bersedap-sedap antara suami isteri.
5. Bersugi atau gosok gigi kemudian dari tergelincir matahari.
6. Mandi junub selepas fajar.


SUNAT-SUNAT PUASA.

1. Makan sahur walaupun dengan sebiji kurma.
2. Melewatkan sahur.
3. Menyegerakan berbuka puasa.
4. Berbuka dengan kurma.
5. Menjamu orang berbuka puasa.
6. Melebihkan belanja ke atas keluarga.
7. I'tikaf di masjid.
8. Tadarrus Al Quran dan zikir.
9. Menghidupkan malam lailatul qadar.

Wallahu a'lam...

No comments: