10 October 2010

Orang bodoh ja dok hingaq pasai ayaq di Kedah!


Ramai yang meminta penjelasan berhubung kenyataan yang mendakwa kenaikan tarif air yang diumumkan di Kedah adalah atas ‘arahan dan restu Pusat’. Penjelasannya begini:

Cadangan penyemakan dan pelarasan tarif ini pernah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau juga membangkit rungutan kerajaan negeri (di semua negeri) yang menghadapi masalah kewangan akibat dari tarif air, cukai tanah dan cukai pintu yang kebanyakannya tidak disemak dan diselaraskan sejak sekian lama.

Jamaah Menteri memutuskan agar semakan semula tariff dijalankan dan dikuatkuasakan di semua negeri.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air (SPAN) telah mengadakan mesyuarat dengan semua operator air negeri berhubung dengan pelarasan tarif pada 7 Januari 2010. Semua negeri diminta mengemukakan cadangan untuk pelarasan tarif kepada SPAN selewat-lewatnya pada 7 Februari 2010.

Lanjutan itu SADA telah mengemukakan permohonan untuk pelarasan tarif kepada SPAN pada 7 Februari 2010. Beberapa siri perbincangan antara SPAN dan SADA diadakan.

Jemaah Menteri kemudian meluluskan cadangan semakan dan pelarasan itu berdasarkan Peraturan-peraturan Industri Perkhidmatan Air (Kadar Perkhidmatan Bekalan Air) Negeri Kedah 2010 yang akan berkuatkuasa mulai 1 Okober 2010.

SPAN juga telah bermesyuarat dan memutuskan bahawa negeri Melaka, Johor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang adalah kumpulan negeri pertama yang akan mengumumkan pelarasan tarif mulai 1 Oktober 2010. Bagaimanapun kadar tersebut hanya berkuatkuasa sehingga 2012 sahaja kerana selepas itu SPAN akan turut menyeragamkan semua tarif air di Malaysia.

Pada tahun 2013 nanti, insyaAllah seluruh rakyat Malaysia akan dikenakan satu tarif air sahaja; sama seperti tarif elektrik, telefon (Telekom) atau harga minyak yang selama ini seragam di seluruh negara.

No comments: