16 November 2010

Gerakan Islam: Antara punca kekalahan....

Assalamualaikum semua.

Sudah lama penulis tidak mengemaskini blog ini. Alhamdulillah hari ini Allah izinkan jua.


Sebagai pejuang gerakan islam tak kira di mana jua kita berada, pasti kita menghadapi cabaran dan dugaan. Dan dugaan itu semuanya adalah tarbiyah dari Allah untuk sama-sama kita muhasabah dan bersyukur dengan apa yang berlaku. Gerakan islam berparti ini lebih menjurus kepada memasuki pilihanraya. Pendek kata menjurus kepada keterlibatan gerakan islam bersama sistem demokrasi yang asalnya bukanlah dari islam. Namun seperti kata seorang tokoh gerakan islam di Malaysia, " Kita ambil barang musuh ini dijadikan senjata untuk melawan balik musuh.."

Setelah sekian lama kita berjuang, akhirnya Allah izinkan kita untuk menang. Kita bersyukur, maka tertubuhlah sebuah negeri yang dipimpin oleh pemimpin dari gerakan islam di samping dibantu oleh gerakan-gerakan yang lain. Ramai dikalangan pemimpin gerakan islam menjadi pimpinan atasan kerajaan negeri. Samada sebagai exco kerajaan negeri atau wakil rakyat. Ketika kita sekarang berada di puncak kejayaan, Allah sentiasa memerhatikan kita. Adakah kita ini bersyukur dengan nikmat yang telah Allah kurniakan ini? Maka di sini penulis datangkan beberapa perkara yang memungkinkan kejayaan yang sedang kita kecapi sekarang ini bisa jatuh. Jatuh bukan kerana musuh itu kuat. Tapi kerana masalah dalaman yang berlaku.

Antara perkara yang membolehkan kita kalah dan jatuh ialah sikap wakil rakyat yang tak pedulikan masyarakat kawasannya. Ketika kempen pilihanraya dulu, kita boleh pergi ke sana ke mari untuk berkempen. Turun padanglah orang kata. Namun setelah menang, mengapa muka kita susah nampak di kawasan sendiri? Adakah kerana sibuk sehinggakan terlalu jarang nampak muka kita? Masyarakat di kawasan kita mula bersuara. Tak puas hati dengan cara kita memimpin. Maka jangan terkejut pilihanraya akan datang kita akan jatuh. Kalah bukan kerana musuh itu kuat, tapi kerana masalah yang kita datangkan sendiri. Rupa-rupanya penyakit kita ialah hubburriyasah(cintakan jawatan) dan hubbuljah(cintakan kemegahan). Kita hanya nak kepada jawatan wakil rakyat dan bermegah-megah dengan jawatan itu sahaja. Apa nak jadi pada orang kampung, kita tak pernah peduli. Maka kerana sikap kita beginilah, Allah jatuhkan kita sebagai muhasabah diri... Jangan salahkan para pengundi di kawasan kita sendiri.

Dan antaranya lagi ialah masalah dalaman gerakan islam itu sendiri. Ada yang dengki kerana tak dapat jawatan atau kelebihan seperti mana orang lain dapat. Maka menyebabkan kita sudah mula pandai untuk mengkhianati ahli jemaah kita sendiri. Ke sana ke mari kita menjaja dan memburukan namanya hanya kerana kita tak dapat jawatan dalam jemaah kita. Akhirnya jemaah jadi kacau bilau. Bila berterusan keadaan begitu berlaku tanpa ada baik pulih, maka Allah ajar dengan kekalahan..

Ingatlah wahai para pemimpin gerakan islam khususnya... Dulu kita pernah susah. Tapi bila Allah uji pula dengan kesenangan, mengapa kita mudah lalai? Jawatan yang ada bukan untuk dimegahkan. tapi sebagai amanah. Oleh itu marilah sama-sama kita pelajari ilmu tasawuf untuk hilangkan sifat-sifat mazmumah dalam diri kita. Antara sifat mazmumah itu ialah cintakan dunia, cintakan pangkat, cintakan kemegahan, riak, takabbur, umpat, mengadu domba dan lain-lain. Inilah penyakit dalam gerakan islam yang berlaku hari ini. Jika kita lambat menang, bukan kerana musuh itu kuat, tapi kerana kita telah ketepikan 1 ilmu yang wajib dipelajari iaitu ilmu tasawuf....... Marilah kita muhasabah kembali... Salam perjuangan dari penulis. Takbir!!.